Sultan Nazrin puji kepemimpinan Zambry sebagai MB Perak

Tidak secara tersorok sebaliknya Sultan Perak  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa memuji kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam menjayakan program pembangunan di negeri Perak.

Walaupun pada masa sama baginda merasakan masih ada ruang untuk meneruskan kerancakkan usaha-usaha pembangunan, baginda turut  menzahirkan penghargaan kejayaan kerajaan negeri  pada tahap ini di dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan.

Baginda percaya rancangan-rancangan yang diatur itu akan membawa kemajuan kepada negeri ini. Titah baginda terkandung  ketika  merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan  Negeri Perak.

Terdahulu baginda berangkat menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Istiadat pembukaan  bermula sebaik  baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, tiba kira-kira jam 9.30 pagi.

Dr.Zambry, Yang Dipertua Dewan Negeri, S. Thangasvari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta semua 50 ahli-ahli DUN menyambut ketibaan baginda berdua.

Susulan lagu kebesaran negeri Perak dimainkan diikuti dengan majlis pemeriksaan perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada Pegawai dan Anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am, Briged Utara, Ulu Kinta, dengan diiringi  Pancaragam Polis DiRaja Malaysia Cawangan Kedah.

Ketika bertitah kepada wakil-wakil rakyat,  Sultan Nazrin berkata kerajaan negeri  berjaya mengurus tadbir negeri sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat walaupun menghadapi suasana dunia dan negara yang semakin mencabar.

Pun begitu baginda berkata  masih banyak yang perlu dan boleh dilakukan melalui kerjasama dan persepakatan yang wajib terus dipupuk di antara rakyat dan kerajaan.

“Beta menzahirkan penghargaan atas kejayaan kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada negeri Perak,”katanya.

Dalam ucapan yang memakan masa kira-kira sejam, baginda berkata, usaha menarik pelaburan terus dipergiatkan di mana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatatkan kelulusan berjumlah RM3.9 bilion melibatkan 55 projek dalam tahun 2016. Dan, 71.8 peratus pelaburan merupakan pelaburan domestik dan 28.2 peratus adalah pelaburan asing.

“Berdasarkan sasaran Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Perak (PIDAP), jumlah kemasukan pelaburan pada tahun 2016 melebihi daripada sasaran purata pertumbuhan 7.1 peratus,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menarik perhatian mengenai Perbadanan Menteri Besar Perak (PMB) yang telah menerajui sektor pembangunan mineral secara berhemah, mengurus aset negeri secara cekap dan membangunkan semula tapak bekas lombong serta memulihara warisan perlombongan.

“Pelan Tindakan Pembangunan Mineral Negeri Perak yang diuruskan oleh PMB telah menarik minat negeri-negeri lain untuk mempelajari keberkesanan strategi dan pengurusan mineral yang diperkenalkan di negeri ini,” katanya lagi.
   
Dalam titah sama, Sultan Nazrin  berkata latar belakang, ketenteraman awam dan keamanan negara boleh terjejas disebabkan oleh faktor-faktor agama, kaum dan budaya. Ancaman terhadap ketenteraman awam dan keamanan negara berlaku dalam berbagai bentuk yang memerlukan langkah komprehensif bagi menanganinya.

“Isu-isu agama, kaum dan budaya yang dieksploitasi bagi kepentingan politik kepartian jangka pendek, ibarat api yang membara di dalam sekam, berpotensi mencetus permusuhan dan meluap kemarahan dikalangan warga,” titahnya.

Baginda berkata, penularan pelbagai aliran pemikiran konvensional dan baharu yang menongkah arus pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu cabaran yang bakal merungkai pegangan akidah dan boleh memporak-perandakan ummah.

“Ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan.

“Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan  yang dirintis, lebih bijaksana dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir, daripada digembar-gembur di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran hingga mengakibatkan umat keliru” titahnya.

Setiap agama kata baginda menyeru kepada perdamaian dan keamanan, menyemai rasa keinsanan dan kemanusiaan malah melarang permusuhan serta mencegah pembunuhan.

“Kini ada rakyat yang telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ekstremis, hingga ke peringkat  bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang telah terkorban di negara orang.

“Polis Diraja Malaysia telah melakukan beberapa tangkapan. Namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam,” titah baginda lagi.

Justeru  dalam konteks sama titah baginda lagi, langkah-langkah menangani yang lebih komprehensif perlu difikirkan dan diperhalusi terutama berkaitan faktor-faktor yang telah berupaya memesong pemikiran anak-anak muda, sehingga hilang pertimbangan rasional, lalu memilih menyertai kumpulan-kumpulan militan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana