RUU355 dan dilema PPBM... Muhyiddin cakap lain, Mahathir cakap lain

Antara rungutan yang sering didengar oleh pemimpin parti PPBM atau Parti Bunga adalah dua nada berbeza antara pemimpinnya iaitu Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Tun Mahathir Mohamad.

Dalam banyak hal, Muhyiddin serupa presiden yang tidak ada kuasa kerana pengaruh Mahathir dalam parti tersebut.

Tidak hairanlah Muhyiddin banyak bercuti dari menguruskan partinya sendiri.

Dalam kes Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 (RUU355) baru-baru ini Muhyiddin mengulangi komitmennya untuk menyokong pindaan tersebut Julai nanti.

Beliau berkata, apa yang penting bagi beliau adalah RUU 355 itu untuk kebaikan umat Islam dan tidak melihatnya daripada perspektif lain termasuk politik.

"Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, saya melihat RUU 355 masih tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak mewujudkan kesalahan baharu tetapi hanya meningkatkan hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan sedia ada dalam kalangan orang Islam saja.

"Rang undang-undang ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam sebagaimana diulang-ulang di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, juga disebut di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta 355 sendiri.

"Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai ke atas orang-orang Islam saja dan prinsip ini tidak berubah dengan pindaan yang dicadangkan. Paling jelas , RUU ini juga bukanlah satu RUU untuk melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia," katanya dalam kenyataannya Ahad.

Kenyataan Muhyiddin itu jauh berbeza dengan pendapat Mahathir yang mendakwa RUU 355 bukan saja tidak mempunyai kaitan dengan Islam, sebaliknya ia digunakan untuk politik bagi memecah-belahkan orang Islam di negara ini.

Muhyiddin berkata, pindaan RUU 355 adalah sama dengan pindaan yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989 cuma bezanya sebelum ini pindaan dilakukan menerusi RUU Kerajaan, bukan Rang Undang-Undang Persendirian.

Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, kesalahan jenayah dan hukuman yang disenaraikan di bawah undang-undang sedia ada sebahagian besarnya adalah hukuman takzir yang mana penetapan had hukumannya adalah tertakluk kepada budi bicara pemerintah.

"Bahkan, terdapat pandangan para ulama yang mengatakan bahawa had hukuman bagi kesalahan takzir tidak boleh melebihi hukuman bagi kesalahan hudud. Dalam Islam, setiap hukuman yang ditetapkan mestilah adil dan setimpal mengikut hukum syarak dengan kesalahan yang dilakukan.

"Lebih-lebih lagi tujuan hukuman di dalam Islam bukan semata-mata untuk menghukum pesalah, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran di dalam dirinya supaya bertaubat, menyucikan jiwanya dan kembali ke landasan Islam yang sebenar," katanya.

Beliau mencadangkan apabila RUU berkenaan diluluskan, perlu ada jaminan bahawa pesalah bagi kesalahan ini dan yang seumpamanya tidak dikenakan hukuman penjara atau denda yang terlalu berat dan tidak setimpal apabila had hukuman penjara dinaikkan kepada 30 tahun dan denda hingga RM100,000.

"Satu lindung jamin mestilah diadakan di dalam RUU ini untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang adil dan setimpal berlandaskan Hukum Syarak. Pindaan ini juga masih lagi mengikat Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan hukuman dalam tiga bentuk hukuman saja iaitu pemenjaraan, denda dan sebatan.

"DUN masih tidak boleh mengadakan hukuman lain seperti mewajibkan hadir solat berjemaah di masjid untuk suatu tempoh tertentu atau melakukan kerja-kerja amal bagi orang yang melakukan kesalahan seperti tidak bersolat Jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadan atau seumpamanya yang saya fikir lebih sesuai untuk tujuan mendidik daripada dikenakan hukuman denda atau penjara semata-mata," katanya.

Beliau mengemukakan perkara itu kerana bimbang jika tidak berhati-hati dalam hal ini berkemungkinan akan berlaku sikap melampau (overzealous) dalam fahaman dan amalan agama yang akan mewujudkan kecenderungan untuk menghukum pesalah jenayah syariah secara sembrono tanpa mengambil kira aspek keadilan dalam Islam semasa menjatuhkan hukuman sehingga menimbulkan fitnah kepada agama Islam sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana