PAS tidak mewarisi iman Nik Aziz, dakwa Amanah

Amanah mendakwa 'iman' PAS tidak dapat diwarisi daripada tokoh utamanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga menyebabkan parti itu tersasar jauh dari landasan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan bekas Mursyidul Am PAS itu seorang yang berpandangan jauh, baik dari segi urusan pentadbiran kerajaan negeri, malah soal strategi politiknya bersama parti lawan.

Beliau turut memberi contoh bagaimana PAS kini 'seiring sejalan' dengan Umno, satu perkara yang amat ditentang Nik Aziz ketika memimpin parti suatu ketika dahulu.

"Nik Aziz seorang yang 'futuristik'. Pandangannya ke hadapan. Datuk Husam Musa mungkin lebih tahu kerana sudah lama berdamping dengan tok guru.

"Nabi Noh telah membina kapal kerana mendapat ilmu menerusi ilham dan wahyu, bahawa akan berlakunya banjir besar. Dia membina kapal ketika hujan belum turun lagi. Tetapi anaknya tak ikut.

"Iman itu tak dapat diwarisi, kita kena faham. Jika ada anak tak ikut pandangan bapa atau sebagainya, kerana iman tak diwarisi. Malah dikatakan pula, air baru naik sedikit, bukit ada lagi. Kemudian dirasakan bukit semakin tenggelam, dikatakan pula gunung masih ada. Dicari-cari kemudian jumpa Umno," sindir Mohamad ketika berucap di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.

PAS sebelum ini menjadi sasaran parti pembangkang yang lain selepas ia beberapa kali 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN) bersabit isu-isu sejagat.

Parti itu terus dihujani kritikan pembangkang selepas diberi laluan oleh kerajaan Pusat untuk membentangkan usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355.

Usul itu dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, 6 April lalu.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam pada itu menempelak PAS kononnya parti itu kini tidak merasai keperihan yang dilalui rakyat.

Mat Sabu kemudiannya mendakwa Amanah adalah satu-satunya perjuangan tulen yang diterjemahkan kepimpinan Nik Aziz.

"Ketiadaan Nik Aziz menyebabkan sedikit cempera, tetapi kita yakin sebagai anak buahnya akan berusaha menterjemahkan pemikirannya, tindakannya dalam tindakan kita," tegasnya lagi.

Beliau juga memuji pendekatan bekas menteri besar Kelantan itu yang memimpin secara penuh hemah, termasuk cara menegur dan mengkritik.

Nik Aziz menurut Mat Sabu tidak akan sesekali memalukan sesiapa, jika orang tersebut melakukan kesilapan.

"Ada video beliau puji Mat Sabu. Tetapi apabila hendak tegur saya, beliau akan panggil saya secara satu sama satu. Apa yang dikritik saya tak mahu beritahu. Inilah sifat seorang pemimpin, apabila puji di khalayak ramai, apabila hendak tegur panggil secara berdepan dan teguran yang diberikan akan saya abadikan hingga akhir hayat," ujarnya.

Malah Mat Sabu mendakwa sikapnya merendah dirinya kepada pemimpin DAP adalah hasil pemerhatiannya daripada sikap Nik Aziz.

Mat Sabu merujuk tindakan Nik Aziz menziarahi bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh ketika hari jadinya meskipun hubungan antara PAS dan DAP ketika itu amat tegang selepas parti berkenaan hangat membincangkan pelaksanaan hukuman hudud.

"Tetapi perkara sebegini Nik Aziz tak bincang, terus pergi dan keluar surat khabar. Kita semua terpinga-pinga. Ketika itu batang tubuh Karpal amat keras, minta kita langkah mayatnya dahulu kalau hendak laksana hudud.

"Dalam keluarga Karpal, apabila kita tanya tentang Nik Aziz pasti sebak, kerana mereka melihat seorang ulama berkunjung ke rumah. Apatah lagi Nik Aziz bukan seorang yang menyambut hari jadi," kata Mat Sabu lagi.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment