KRONISME, ‘GILA JAWATAN’ PUNCA PENGASAS PPBM KELUAR PARTI

Unsur negatif seperti kronisme dan sikap ‘gila jawatan’ yang semakin menebal dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyebabkan salah seorang pengasas parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman hari ini mengisytiharkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Setiausaha Kerja PPBM berkata, tindakan itu diambil kerana beliau melihat perjuangan PPBM sudah terpesong, malah banyak ahli yang hilang kepercayaan kepa­da kepe­mimpinan yang meman­dang ahli-ahli parti mengikut ‘darjat’ dan ‘kasta’.

Katanya, beliau mula hilang kepercayaan terhadap kepe­mimpinan parti itu apabila hari demi hari, rakan-rakan yang ‘rapat’ dengan pemimpin parti mendapat tempat dan kedudukan tetapi golongan yang benar-benar bekerja dilayan sebagai ahli kelas kedua.

“Apabila saya mengutarakan kebenaran sesuatu perkara dalam parti, ada yang tersinggung termasuklah presiden dan naib pre­siden, malah ada yang mengatakan saya tidak pandai berpolitik kerana bagi mereka, ‘pandai berpolitik’ itu adalah berbohong, memfitnah dan berlagak bodoh.

“Ada juga yang menasihatkan supaya jangan bersuara tentang kepincangan dalam parti kerana itu akan membahayakan kedudukan jawatan saya,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keluar parti PPBM di sini hari ini.

Pada 16 Mac lalu, 13 ahli PPBM mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta kerana tidak berpuas hati berhubung pelantikan jawatankuasa baharu PPBM kawasan itu pada Februari lepas.

Pada 5 April lalu pula, seramai 500 ahli PPBM Rembau mengisytiharkan keluar parti tersebut ekoran hilang kepercayaan ter­hadap kepimpinan dan hala tuju parti berkenaan.

Kamarul Azman meletakkan jawatan sebagai Ketua Penaja PPBM Teluk Kemang, Setiausaha Kerja PPBM dan Ahli Majlis Ter­tinggi PPBM serta menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Perhubungan PPBM Negeri Sembilan.

Kamarul Azman mendakwa, 821 ahli PPBM seluruh negara juga dijangka mengikut keputusannya untuk keluar parti dalam masa terdekat.

Tambah Kamarul Azman, selain mengamalkan sikap pilih ka­sih melampau, matlamat PPBM kini hanyalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukanlah memperjuangkan nasib rakyat.

“Secara jujur saya agak kabur dengan perjuangan PPBM ke­rana kini mereka hanya mengamalkan politik kotor sehingga sanggup melakukan apa saja de­mi menjatuhkan kerajaan termasuk mensabotaj negara.

“Saya bimbang melihat bagai­mana jawatan Perdana Menteri itu sangat penting bagi sesete­ngah pihak sedangkan saya lebih berminat membela nasib rakyat,” katanya.

Menurut Kamarul Azman lagi, sekiranya PPBM tidak berubah dan terus mengamalkan gaya politik seperti sekarang, parti itu tidak akan bertahan lama.

“Jika parti itu tidak berubah, mereka tidak akan dapat memberi tentangan kepada UMNO, lebih-lebih lagi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana