Johari cadang debat Tun M-Nazri di hotel

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz diadakan di hotel.
 
"Kalau tidak boleh (permit), buat program (debat) di hotel, selesai masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Komuniti Sihat Tanpa Asap Rokok anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Kampong Pandan Settlement, di sini hari ini.
 
Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua, berkata segala isu dan persoalan yang ditimbulkan Dr Mahathir dan pihak-pihak tertentu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya telahpun dijawab kerajaan.
 
Johari berkata isu-isu yang dibangkitkan itu juga boleh dirujuk dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan permit debat berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 7 April ini, atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
 
Johari berkata kerajaan bersikap terbuka dan sentiasa berusaha menyelesaikan isu berkaitan IMDB.
 
"Kita sudah terbuka. Apa yang orang cakap semua ada dalam laporan PAC. Isu ini (1MDB) sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, jadi memang kita tengah cari penyelesaian untuk macam mana hendak bangunkan aset-aset 1MDB," katanya.
 
Dilaporkan, Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis lepas, menyatakan 1MDB selesai membayar semua hutangnya berjumlah RM3 bilion sepanjang dua tahun lalu selain tidak mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek pada masa ini.
 
Sementara itu, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor memuji tindakan polis membatalkan permit debat berkenaan atas faktor keselamatan kerana ia dikhuatiri menimbulkan kekecohan.
 
Yang Dipertuanya Tan Sri Dr Abu Hassan Omar, berkata debat itu boleh menjurus kepada pertelingkahan penyokong kedua-dua belah pihak.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment