Hanya Sandiwara PAS, Umno...Inilah YB Mudah Lupa Asal Unsurnya

Tindakan ahli parlimen Pas yang tidak membantah penangguhan bagi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) 355 disifatkan sebagai kesinambungan sandiwara Pas dan Umno.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Pas seolah-olah bersedia berhadapan dengan pengumuman penangguhan buat kali ketiga tanpa perbahasan dan pengundian apabila ahli-ahli parlimen Pas tidak bangun untuk bantah keputusan tersebut.
Beliau menyifatkan tindakan Pas itu sebagai aneh turut memberitahu bahawa tugas tersebut sebaliknya diambil alih ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan.

“Hairannya juga ahli parlimen Pas yang mengeluarkan air mata semasa Presiden Pas membaca teks RUU 355 tidak pula berilham mencurahkan air mata kesedihan atas penangguhan dan kecurangan kali ketiga Umno.

“Kalau Pas bersungguh hendak memperkasakan undang-undang Syariah, kenapa mereka tidak sedih dan marah insiden ini?” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Raja Bahrin yang juga Pengerusi Amanah Terengganu juga turut mempersoalkan sikap Pas yang membisu dalam Parlimen berkait penangguhan tersebut sebaliknya memberitahu bahawa mereka begitu lantang melawan kerajaan di masjid dan surau di kampung-kampung.
Tindakan Pas itu katanya, memperlihatkan bahawa Pas seolah-olah tahu dengan skrip yang akan berlaku selepas terpedaya buat kali kedua sebelum ini.

“Walau Allahyarham Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh dalam lubang yang sama dua kali, Pas berjaya dengan cemerlang terjun ke dalam lubang yang sama untuk kali ketiga,” katanya.
Sementara itu. Raja Bahrin turut menggambarkan bahawa Pas seolah-olah tidak bersungguh-sungguh ke arah memperkasakan undang-undang syariah apabila di Terengganu sendiri katanya, Pas tidak meminta Umno Terengganu bekerjasama memperkasakan mahkamah syariah serta undang-undang yang telah diluluskan.

Jelasnya, dengan kedudukan 14 kerusi Pas di Terengganu, sesuatu sepatutnya dilakukan untuk perkemas dan perkasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang Pas sendiri bawa dan diluluskan pada 2002.

“Adakah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu yang berusia 15 tahun hanya untuk saham politik Pas negeri semata-mata? Kalau tidak kenapa tiada kemajuan dan usaha usul untuk dihidupkan semula tidak disokong?... Soalannya sekarang adakah ini cara Pas cuba memperalatkan RUU 355 untuk saham politik Nasional pula?” katanya.

Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment