DIA FIKIR DIRINYA MAMPU JINAKKAN DAP?

Penulis melihat ramai yang tertanya-tanya tentang rasional di sebalik sikap parti ‘cap bunga’ yang sanggup bersekongkol dengan DAP, sedangkan suatu ketika dahulu pimpinan mereka itulah yang hampir setiap hari menghentam parti yang dikatakan ‘chauvinis ultra kiasu’ itu.

Pantang disebut nama DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng mahupun mendiang Karpal Singh, mereka pantas melabel mereka sebagai perosak bangsa Malaysia, mengamalkan sentimen perkauman yang tinggi dan sering menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Sesetengah dari mereka hampir tidak senang duduk sekiranya tidak dapat menghentam DAP setiap hari. Jika dapat ‘mikrofon’, DAP akan menjadi bahan kutukan mereka. Jika dapat ‘keyboard’, DAPlah yang akan digambar segala buruk dan keji dalam medium penulisan…

Tapi mengapa kini mereka sanggup menjilat ‘kahak hijau’ yang mereka ludah suatu masa dulu? Mengapa Kit Siang, Guan Eng dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mereka kecam setiap hari dulu menjadi pilihan? Kenapa sanggup berpeluk dengan pengkhianat, rasis dan ultra kiasu?

Pada pandangan penulis, semuanya adalah kerana BN. Pemimpin parti ‘cap bunga’ melihat BN sebagai ‘role model’ terbaik untuk mereka contohi. Seperti mana MCA di dalam BN, maka mereka memilih DAP untuk meraih undi dari kaum Cina. Begitu juga dengan PKR.

Dalam suasana politik kaum Cina di negara ini yang dilihat lebih menyebelahi DAP berbanding MCA, mereka mengambil kesempatan untuk berada’sekatil’ dengan ‘Dinasti Lim’. Walau terpaksa menggadai maruah diri, mereka rela demi merebut kuasa dari UMNO.

Namun begitu, apakah puak ‘cap bunga’ fikir mereka mampu mendominasi Pakatan Harapan, terutama DAP? Apakah mereka fikir DAP akan tunduk pada mereka? Apakah mereka fikir DAP akan bersikap seperti MCA di dalam BN? Mereka mampu jinakkan DAP?

Pada hemat penulis, apa yang berlaku kini menunjukkan sebaliknya. Jika perkara remeh yang dicadang parti ‘cap bunga’ pun ditolak, apatah lagi perkara-perkara dasar nanti. Sudah berkali-kali DAP tegaskan Anwar merupakan calon tunggal pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri, masih lagi ‘cap bunga’ mahu mengharap?

Sebagai contoh, cuba lihat apa yang berlaku pada PAS. Sebuah parti yang lebih senior dari DAP dan PKR, PAS begitu optimis mampu menjinakkan DAP. PAS sanggup terima kemarahan dan kekecewaan akar umbinya bila ‘berpeluk’ dengan DAP.

PAS ketika itu tidak malu untuk mengibar atau menggantung bendera DAP di jalan raya. Hanya kerana menyebut beberapa ayat Al-Quran dan Hadis dengan tajwid dan baris yang lintang-pukang, mereka teruja menganggap DAP sudah ‘jinak’. Ingat lagi siapa ‘khalifah Umar Abdul Aziz’ di Pulau Pinang?

Bertahun-tahun mereka ‘menjilat’ DAP. Hudud dan negara Islam mereka sanggup letak di ‘pajak gadai’. Malah, tiada termaktub pun dasar perjuangan tradisi PAS dalam buku jingga, parti itu terima dan bertakbir sambil menjulang bendera DAP di pilihan raya.

Namun cuba lihat apa yang DAP lakukan pada PAS. ‘Ditunggang’nya PAS sepuas hati. ‘Diperkudakan’ PAS ‘semacai’ mungkin. Malah parti itu hampir hancur dan terpaksa menghadapi pepecahan dalaman hingga lahir parti serpihan pimpinan Mat Sabu.

Sehingga hari ini, PAS pada pandangan penulis tidak akan lupa tentang apa yang berlaku. Sejak itu hingga ke hari ini, hampir setiap hari DAP dan PAN berganding bahu menghentam PAS. Konon mahu mengambil hati DAP, parti ‘cap bunga’ dan PKR juga tumpang sekaki memperlekeh PAS di khalayak umum?

Jika PAS gagal menjinakkan DAP, apakah parti ‘cap bunga’ yakin mereka mampu menundukkan DAP di dalam Pakatan Harapan? Apakah bekas ‘diktator’ itu fikir dia boleh menjadi tunjang kepada DAP, PKR dan PAN sebagaimana UMNO yang menjadi tunjang kepada parti-parti komponen BN?

Mungkin parti ‘cap bunga’ tidak sedar bahawa DAP, PKR dan PAN sedang merencana agenda ‘terbaik’ padanya. Setelah puas membuli mereka selama 22 tahun, apakah dia fikir parti-parti itu akan ‘lepaskan’ dia begitu saja walau sudah tua?

Tua atau tidak, nyanyuk atau tidak, penulis yakin parti-parti itu tidak akan lupa pada segala tindakan dan kata-katanya dulu. Mungkin kini tibalah masanya untuk mereka melepaskan ‘geram dan dendam’. Kini, tibalah masanya untuk dia ‘dimacaikan’ hingga ke liang lahad…

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana