Azmin Usah Berdalih, Pecat Sahaja Exco PAS Jika Berani

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih merasakan dirinya terhutang budi dengan PAS ekoran perlantikannya sebagai peneraju negeri berkenaan hasil ehsan parti Islam itu mencalonkan namanya untuk mendapat perkenan Istana Selangor.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Muhammad Nazri Mohd Amin berkata, sungguhpun Azmin 'bersilat lidah' memperlekehkan hubungan PKR dan PAS, beliau tidak akan berani memecat wakil PAS yang menduduki kerusi exco kerajaan negeri berkenaan.

“Kita percaya beliau tidak akan berani untuk mengundang risiko biarpun hampir setiap negeri termasuk di Selangor PAS kawasan sudah pun membuat usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

“Cuma kita nak tengok sampai bila Azmin berterusan dengan tindak tanduk dan sikapnya itu. Apakah beliau mampu bertahan atau pelbagai drama yang baru bakal muncul dalam masa terdekat dalam usaha menyelamatkannya di kerusi Menteri Besar,” katanya dipetik portal berita.

Tambahnya, Azmin terpaksa bersandiwara untuk menjaga hati DAP yang sudahpun 'menceraikan' PAS sebelum ini.

“Azmin terpaksa memperhebatkan lakonan sandiwaranya kerana selain ehsan PAS dan DAP yang memberikan beliau jawatan menteri besar itu, Azmin turut berdepan serangan dari dalam partinya sendiri di mana musuh-musuh politik dalamannya hanya menunggu peluang untuk menyingkirkan beliau dari kerusi menteri besar itu termasuklah jawatan dalam parti”, ujarnya.

Kerusi Azmin kini menjadi tumpuan ramai selepas beberapa kawasan PAS di empat negeri sudah mengusulkan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Selepas Pulau Pinang, Terengganu, dan Kelantan, PAS Kedah pula dilaporkan meluluskan usul mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR yang akan dibawa pada muktamar tahunan PAS di negeri itu hujung bulan depan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama PAS kawasan yang berbuat demikian.

“Setakat ini 11 daripada 15 PAS kawasan di negeri ini sudah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara empat lagi akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

“Ada beberapa PAS kawasan yang membahaskan usul mengenai tahaluf siyasi bersama PKR dan perkara itu diluluskan untuk dibawa kepada jawatankuasa penapis usul di peringkat PAS Pusat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Menurut laporan itu, PAS kawasan Baling juga meluluskan usul tersebut secara sebulat suara.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana