AHLI PKR TETAPI SOKONG PAN DAN SERANG PAS – MOHD AMAR

Pas mendakwa terdapat dua kelompok dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana satu kelompok menyokong Parti Amanah Negara (Amanah) manakala satu lagi menyokong Pas.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kelompok yang menyokong Amanah ini dilihat cuba memecahbelahkan ‘tahaluf siyasi’ dengan mengkritik Pas di ceramah Pakatan Harapan termasuk berkongsi pentas dengan Amanah dan DAP.
Katanya, kelompok inilah yang menjadi masalah dan sering menyerang Pas.
“Dalam PKR ada dua kelompok, yang cenderung kepada Amanah datang ke Kelantan berceramah menghentam Pas secara terbuka.
“Golongan inilah yang menimbulkan masalah dalam hubungan. Datang Kelantan, serang kerajaan negeri Pas, tak betul caranya. Sebab bila kita sudah jelas, hubungan kita kekal sehingga muktamar,” kata Mohd Amar.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri petang semalam, Mohd Amar berkata sikap kelompok itulah menyebabkan penyokong dan ahli Pas tidak senang hati sehingga timbul usul dari Pas kawasan supaya memutuskan ‘tahaluf siyasi’ dengan PKR.
Pas, katanya, tidak membuat kenyataan negatif terhadap PKR, bahkan tetap memelihara hubungan baik berdasarkan kerjasama politik yang terjalin.
Ketika ditanya hubungan Pas dan PKR pada masa ini, Mohd Amar memberikan reaksi hubungan Pas dan PKR umpama masam-masam manis.
“Hubungan Pas dan PKR ini masam manis — ada masa manis, ada masa masam. Tengah masam-manis,” katanya lagi.
Berhubung kedudukan kerusi yang dipinjamkan kepada PKR Kelantan, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan menjelaskan perkara tersebut belum dibincangkan.
Katanya kerusi yang ditandingi PKR di Kelantan dipinjamkan oleh Pas atas dasar tahaluf siyasi yang terjalin.
Menurutnya, istilah pinjam digunakan kerana sebelum ini kerusi berkenaan ditandingi oleh Pas yang kemudian dipinjamkan kepada PKR.
Katanya, apabila dinamakan pinjam, ini bermakna ia bukan kekal selamanya kerana setiap barang pinjaman harus dikembalikan kepada tuan asalnya.
Kedudukan sama ada kerusi berkenaan akan kekal dipinjamkan kepada PKR pada pilihan raya umum akan datang hanya ditentukan selepas muktamar nanti yang mana ketetapan berhubung tahaluf siyasi di antara Pas dan PKR juga akan dibuat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, PKR bertanding di tiga Parlimen iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang.
Manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment