PAS ambil balik tujuh kerusi PKR di Kelantan

PAS akan mengambil balik semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ‘dipinjamkan' kepada PKR di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Langkah tersebut dijangka dilakukan oleh PAS negeri selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti itu yang retak dan dilihat menanti masa untuk pecah.
Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (gambar) berkata, hal ini kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk menyerang Kerajaan PAS Kelantan.
“Di peringkat negeri sebelum ini kita sudah sebut kepada rakan kita, PKR supaya menjaga hati pengundi PAS terutama di kampung-kampung.
“Dalam masa sama, kita juga sudah pesan supaya PKR lebih sensitif menjaga hubungan dengan PAS apabila mereka sering kali dilihat bersama-sama Pakatan Harapan di pentas-pentas ceramah untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan,” katanya.
Kerusi Parlimen yang ‘dipinjamkan’ kepada PKR di negeri ini pada PRU-13 adalah Ketereh, Tanah Merah dan Machang manakala DUN melibatkan kawasan Guchil, Kuala Balah, Pengkalan Kubor dan Nenggiri.
Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil.
Baru-baru ini, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menegaskan parti itu akan mengambil balik kerusi yang dipinjamkan kepada PKR di Selangor termasuk Parlimen Gombak yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Desakan supaya PAS memutuskan hubungan dengan PKR semakin kuat apabila beberapa mesyuarat agung tahunan PAS peringkat kawasan di Pulau Pinang, Selangor dan negeri ini meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan parti pimpinan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu ditamatkan dan semua kerusi yang dipinjamkan pada pilihan raya umum lalu diambil balik.
Walau bagaimanapun Che Abdullah berkata, keputusan muktamad mengenainya bergantung kepada Muktamar Tahunan PAS di Kedah akhir bulan depan sekiranya memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
Sementara itu, beliau berkata, rakyat Kelantan tidak akan memberi ruang kepada Pakatan Harapan yang diketuai DAP melalui proksinya PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertapak di negeri ini pada PRU-14.
Katanya, mereka tidak pernah lupa dengan tindakan berterusan DAP bersama Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad yang secara konsisten menentang pelaksanaan hukum Islam di Kelantan.
“Rakyat akan sentiasa ingat apa yang dilakukan Mahathir dan DAP. Jadi tidak ada sebab mereka akan beralih arah menyokong bekas Perdana Menteri itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Che Abdullah berkata, PAN yang diterajui Presidennya, Mohamad Sabu juga tidak mempunyai kekuatan di negeri ini, malah parti itu jelas ditolak oleh rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana