PAKATAN HARAPAN TERLALU TERUK BERBANDING BN – ABDUL HADI

PAS nampaknya sudah memutuskan untuk muktamad ‘jalan sendiri solo’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, menurut portal tempatan AgendaDaily.
Ia susulan penegasan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Sabtu menerusi satu kenyataan pada lewat Sabtu yang menjelaskan bahawa partinya tidak akan menyertai Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional (BN).
Malah beliau secara berterus terang menganggap blok Pakatan Harapan diketuai DAP pada masa ini adalah lebih teruk daripada BN sendiri yang disertai 14 parti komponen diterajui UMNO.
“PAS tidak bersama Pakatan Harapan kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang berterusan menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau oportunis.
“PAS tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertainya dahulu dan terkini, memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, selain masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS.
“Menyertai BN laksana memikul seekor biawak hidup, walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN itu sudah pun keluar dan menyertai pula Pakatan Harapan.
“Bahkan jika PAS berhasrat mahu menyertai Pakatan Harapan, biawaknya itu adalah lebih besar dan penyakitnya pula lebih parah daripada BN,” tegas Abdul Hadi lagi.
Pakatan Harapan yang menggantikan Pakatan Rakyat selepas dibubarkan DAP pada 2015, buat masa ini turut disertai PKR, PAN dan terbaharu PPBM iaitu serpihan UMNO.
Manakala PAS pula setelah dibuang pakatan itu kemudian membentuk blok Gagasan Sejahtera yang dianggotai Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa)
Menurut Abdul Hadi lagi, PAS tidak sedikit pun keliru dalam menentukan gerakan pendiriannya, selain tidak dalam dilema untuk memilih rakan politiknya atau disebut sebagai tahaluf siyasi.
“Banyak kalangan yang tanya sikap PAS antara memilih Pakatan Harapan atau BN, namun hanya pihak lain sahaja berdilema berkenaan PAS, menandakan PAS diminati semua,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment