'Ops Yawas': BN Selangor gerak akar umbi lapor penyelewengan SMUE

Barisan Nasional (BN) Selangor melancarkan ‘Ops Yawas’ bertujuan mengajak semua pihak di Selangor membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) oleh kerajaan Selangor.
Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati tentang pengurusan dana SMUE hingga ramai yang belum menerima dana khairat kematian di bawah skim itu.
“Dana itu dilaporkan tidak diberikan kepada rakyat Selangor mengikut jumlah yang ditentukan iaitu RM2,500 seorang untuk khairat kematian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama mangsa ribut di Kampung Bestari Jaya Jumaat.
Menurutnya hasil maklumat dan bukti yang diterima melalui “Ops Yawas” akan disalurkan kepada pihak berkuasa khususnya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat.
Noh juga mendakwa berdasarkan maklumat yang diperolehi, penyelewengan berlaku di banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sehubungan itu wajar untuk kerajaan Selangor tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Ops Yawas akan dibuat di semua DUN Selangor dan digerakkan secara berperingkat kata beliau.
Difahamkan, nama penerima sudah didaftarkan, dana khairat kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) telah dikeluarkan oleh wakil rakyat yang diberi kuasa memegang kad pengeluaran wang automatik (ATM) tetapi duit yang dijanjikan tidak kunjung tiba kepada waris si mati.
Bukan setakat itu, had RM1,000 bagi setiap kali pengeluaran juga tidak dipatuhi apabila wakil rakyat dikesan mengeluarkan maksimum RM5,000 sehari dan proses tersebut dibuat berterusan menyebabkan jumlah RM10,000 yang diperuntukkan habis dalam masa dua hari sahaja, sebelum kembali disalurkan pada hari ketiga.
Tambah mengejutkan, pengeluaran tidak hanya dibuat di Selangor tetapi turut dikesan di Sabah dan Pulau Pinang, walaupun jelas dalam syarat SMUE, wang hanya boleh dikeluarkan di negeri ini sahaja, selain mereka yang memiliki kod kad pengenalan 14 juga diberikan dana tersebut biar pun tiada kena mengena dengan Selangor.
“Kita sudah mendapat bukti lengkap dalam bentuk dokumen mengenai penyelewe­ngan SMUE ini, wakil rakyat yang diberikan kad ATM dikesan mengeluarkan RM5,000, esok keluarkan lagi RM5,000 dan lusa disalurkan semula RM10,000 tetapi senarai yang patut terima duit tidak terima khairat itu, ia berlaku di semua kawasan.
“Saya tengok bukti memang jelas, kita ada nama orang yang terima, kita ada nombor kad pengenalan dia, kita ada alamat dia, kita tahu berapa dia dapat, jadi kita putuskan Ops Yawas bagi mendedahkan segala penyelewengan ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas debat atau dialog antara bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Noh berkata, debat itu sewajarnya diadakan bagi membolehkan rakyat mendengar dan membuat penilaian terhadap kedua-dua belah pihak.
"Bagi saya, kalau nak debat atau forum apa salahnya... tiada masalah. Saya pun pernah juga berforum dengan Rafizi (Mohd Rafizi Ramli) dan Khalid Samad.
"Elok juga Datuk Seri Nazri debat dengan Tun Mahathir," katanya.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, negara ini bebas untuk bersuara, namun pihak penganjur mesti mengawal emosi kedua-dua penyokong.
"Kita nak kena kawal mereka yang hadir  itu mesti ada sistem dan peraturan," katanya.
Beliau berkata, program seumpama itu bukanlah kali pertama di negara ini, malah beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang juga pernah berdebat sebelum ini.
"Kalau kita tengok dulu pun (Datuk Seri Ahmad) Shabery Cheek pernah berdebat dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan berjalan dengan baik.
Ditanya adakah beliau ingin menyaksikan debat itu, Noh memberitahu, beliau tidak keberatan untuk hadir pada majlis berkenaan.
"Kalau ada masa, saya akan hadir," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana