MAHATHIR SILA CERMIN DIRI SENDIRI DAHULU – PAS...TAK SEDAR DIRI LAGI MADEY TU

Pemimpin-pemimpin kanan Pas hari ini tampil mengecam kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa parti itu sebagai keliru di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagi mereka, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sepatutnya mencermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut yang disifatkan cukup biadab.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, Dr. Mahathir sebenarnya yang keliru, tidak ada pendirian serta hilang arah tuju selepas keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baharu.
“Sebenarnya tindakan Dr. Mahathir itu lebih kepada individu yang kecewa kerana ada sesuatu yang dia mahu tetapi tidak tercapai. Untuk menutup kekecewaan itu, dia menuduh Pas hilang pendirian.
“Pas sejak dahulu sehingga kini tidak pernah berubah meskipun pimpinan utama bertukar ganti. Kita sentiasa konsisten dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam.
“Tidak wujud isu Pas tiada pendirian atau hilang arah sebagaimana yang didakwa Dr. Mahathir kerana beliau sebenarnya yang tiada pendirian dalam perjuangan,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas ke­nyataan Dr. Mahathir yang memperlekeh Abdul Hadi apabila menyifatkan Pre­siden Pas itu kurang karisma berbanding kepemimpinan terdahulu parti tersebut.
Bekas Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, Pas kini sebuah parti yang keliru di bawah pentadbiran Abdul Hadi berbanding ketika era Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
IDRIS AHMAD
Sementara itu, seorang lagi Naib Pre­siden Pas, Idris Ahmad berkata, rakyat boleh menilai sendiri ke­nyataan Dr. Mahathir memandangkan bekas Perdana Menteri itu telah banyak melakukan kezaliman di zaman pemerintahannya.
“Terpulanglah pada dia (Dr. Mahathir) hendak kata apa. Apa yang penting kami tidak pernah melakukan kezaliman, penjarakan orang dan pelbagai lagi kezaliman,” katanya diketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Tumpat hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata, Dr. Mahathir sebenarnya yang keliru apabila sering kali keluar masuk parti lain.
Katanya, beliau juga hairan bagaimana Dr. Mahathir boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan semua rakyat tahu bahawa Pas adalah satu-satunya parti yang terus istiqamah dalam perjuangan sehingga hari ini.
“Lagipun, Dr. Mahathir tidak boleh membandingkan cara pentadbiran Abdul Hadi dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz atau Fadzil Noor kerana mereka ma­sing-masing mempunyai cara pentadbiran tersendiri.
“Apa yang penting, kesemua mereka mempunyai perjuangan yang sama, berpendirian teguh dan istiqamah dalam perjuangan Islam,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana