KERJASAMA PAS DAN PKR, APA SUDAH JADI?

FIKIRKAN sejenak sejarah ini, Pas ditubuhkan pada tahun 1951 oleh sekumpulan ulama yang bertujuan menegakkan syariat Allah­ di bumi Malaysia. PKR pula ditubuhkan pada 1999 akibat kemarahan selepas seorang pe­mimpin kanan negara di­pecat daripada jawatannya dalam parti dan kerajaan.
Atas dasar persahabatan, Pas bersedia mengorbankan kerusinya bagi membolehkan PKR bertanding dalam pilihan raya umum 1999. Kerjasama itu kekal sehinggalah ke hari ini. Hasil kesepakatan tersebut, PKR berjaya memerintah Selangor manakala Pas pernah menguasai Kedah, Terengganu dan kekal berkuasa di Kelantan. Tetapi perlu difahami ketiga-tiga negeri sememangnya Pas mempunyai pengaruh yang kuat manakala Selangor walaupun PKR menang banyak kerusi tetapi sebahagian besar hasil sumbangan Pas.
Namun dari semasa ke semasa, persahabatan yang ter­jalin semakin pudar. Di Selangor, PKR semakin angkuh kerana mereka juga berkawan rapat dengan DAP. Biarpun Pas bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri namun suara parti itu acap kali ditenggelamkan dengan kesepakatan ampuh antara PKR dan DAP.
Semua orang tahu bagaimana PKR lebih banyak mendengar suara DAP. Bukan sahaja di Selangor malah di negeri-negeri lain. Kesudahannya Pas bagaikan terpinggir. Parti itu hanya dipergunakan ketika untuk berceramah dan berdemonstrasi sahaja, tetapi dalam soal tindakan atau langkah politik, PKR akan lebih merujuk kepada DAP.
Ketika perjuangan Islam Pas ditentang habis-habisan oleh DAP, PKR diam membisu. Kalaupun ada kenyataan dibuat, ia lebih banyak memihak kepada DAP. Dalam bahasa mudah, PKR lebih mementingkan DAP daripada Pas.
Nasib Pas dalam hubungan dengan PKR semakin buruk apabila terlahirnya PAN dan tertubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Kedua-dua parti serpihan, sama seperti mana ketika PKR diwujudkan.
PKR seolah-olah berpendapat mereka tidak lagi memerlukan Pas kerana bersama mereka ada PPBM dan PAN. Apa yang lebih penting daripada itu, ketiga-tiga mereka berkongsi sentimen yang sama iaitu menghormati DAP sebagai ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang.
Berikutan itulah apabila Pas bermati-matian memperjuangkan Rang Undang-undang 355 (RUU355), PKR tidak memberi sebarang komitmen. PKR lebih selesa untuk mengikut rentak DAP yang dulu, kini dan selamanya tidak akan merestui perjuangan Islam Pas.
Oleh itu, sudah ada keberanian luar biasa dalam kalang­an pemimpin-pemimpin PKR untuk memperlekehkan pemimpin Pas. Mereka sentiasa beranggapan Pas tidak akan berani berjuang sendirian dalam pilihan raya, apatah lagi memutuskan ­kerjasama dengan PKR.
Justeru suara-suara ahli Pas khususnya di peringkat Dewan Pemuda yang mahu parti itu memutuskan hubungan dengan PKR dipandang sinis. PKR sentiasa yakin Pas kini sebuah parti yang berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan.
Dan lebih daripada itu, Pas ketika ini bersendirian. Tidak ada mana-mana parti pembangkang bersama Pas. Ini berikutan ketegasan Pas menolak ­bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai kaitan dengan DAP dan PAN, biarpun sementara waktu ini masih bersama PKR mentadbir kerajaan Selangor.
Soalnya, bagaimana dengan PKR? Desakan sudah ada supaya hubungan antara Pas dan PKR diputuskan. Ini memandangkan secara logik akalnya, PKR sudah pasti tidak akan mengorbankan DAP semata-mata mahu kekal berkawan dengan Pas. Lagi pula kalaupun PKR mahu terus bekerjasama dengan Pas ini sama sekali tidak menguntungkan Pas.
Sebaliknya apa yang bakal kita saksikan, PKR seperti biasa hanya akan ‘memperkudakan’ Pas bagi meraih sokongan dalam pilihan raya dan kemudiannya akan melayan parti itu bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ demi menjaga hati DAP. Keadaan ini sudah lama berlaku dan ia masih terjadi sehingga ke hari ini. Oleh itu, apa untung­nya Pas mahu mempertahankan dan sanggup mempertaruhkan maruahnya semata-mata mahu berkawan dengan PKR?
Pas hanyalah satu parti sedangkan kalau kerjasama itu diteruskan, PKR juga masih berkawan dengan DAP, PPBM dan PAN. Sudah tentulah dalam keadaan itu, PKR akan mendengar suara sekutunya yang lebih ramai berbanding suara Pas. Selama ini pun itulah nasib yang Pas alami sepanjang berkawan dengan PKR.
Keadaan akan menjadi bertambah buruk kepada Pas apabila dua sekutu PKR iaitu PPBM dan PAN dilihat cukup selesa dengan DAP. Sebab itulah, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup memperlekehkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala pendirian pemimpin-pemimpin PAN terhadap DAP pula tidak perlu dibincangkan lagi, semua orang sudah tahu.
Justeru bayangkan apa akan terjadi jika Pas bekerjasama dengan PKR? Adakah PKR bersedia mempertahankan Pas jika parti itu diperlekeh oleh DAP, PPBM dan PAN? Setakat ini, ini sekadar mimpi di siang hari.
Kesimpulannya, terserahlah kepada Pas untuk membuat keputusan dalam muktamar hujung bulan ini. Apa yang pasti maruah Pas perlu dipertahankan dan jangan sesekali membiarkan ia diperkotak-katikkan hanya semata-mata mahu memburu kuasa politik.
Biarlah perangai tidak berprinsip itu diamalkan oleh PKR, PPBM dan PAN. Lagipun lebih baik berjuang sendirian dalam pilihan raya daripada ‘ditikam dari belakang’ ketika pilihan raya oleh sekutu sendiri.
Zulkiflee Bakar
Utusan

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana