POSTER GAMBAR MUHYIDDIN ‘DIHARAMKAN’ SEKITAR KLUANG, JOHOR

Tindakan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menurunkan sepanduk dan bendera parti-parti Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjelang program Bicara Rakyat malam ini amat dikesali dan dipercayai atas campur tangan politik.

Program Bicara Rakyat yang bakal diadakan berhampiran Pusat Komuniti Kluang, Pusat Perniagaan Tasik, Kluang itu menampilkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Pengerusi PKR Johor Hassan Karim.

Dalam satu kenyataan bersama penyelaras PPBM Kluang dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, mereka kesal kerana tindakan itu dibuat tanpa sebarang alasan dan notis hitam putih.

Malam tadi, beberapa petugas penguatkuasa MPK telah datang ke Pusat Komuniti Kluang mengarahkan bendera dan sepanduk yang telah dipasang para petugas program diturunkan.

Bagaimanapun para petugas diketuai Sheikh Ali Omar bertegas untuk tidak menurunkan bendera dan sepanduk yang telah dipasang jika pihak MPK gagal mengemukakan sebarang surat arahan rasmi dengan alasan yang kukuh.

Namun tanpa mengemukakan sebarang notis, bendera dan sepanduk program telah diturunkan petugas bahagian penguatkuasa MPK pada jam 3.00 pagi tadi.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat sekretariat program.

“Kami yakin ada desakan serta campur tangan politik di sebalik tindakan MPK ini. Agensi kerajaan tidak boleh semudah-mudahnya diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“Untuk makluman juga, pihak kami yang menganjurkan program ini merupakan parti yang sah dan sewajarnya diberikan hak untuk menjalankan sebarang aktiviti mengikut lunas-lunas demokrasi yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

“Kami telah pun mengikut segala prosedur yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman,” kenyataan bersama itu dipetik.

Kenyataan itu menambah, tindakan semberono mengarahkan dan menurunkan bendera serta sepanduk menunjukkan sikap tidak profesional MPK.

“Pihak kami bertegas bahawa demokrasi rakyat tidak boleh disekat dan mesti di perjuangkan tanpa kompromi,” ujar Sheikh Omar yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Kluang.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment