Mufarakah dengan DAP dan AMANAH gilap perjuangan PAS

PAS sudah banyak berubah sejak September 2015. Ucapan dan kenyataan pemimpin-pemimpinnya sudah kurang lapisan politiknya. Ia lebih banyak menyandarkan pendirian berdasarkan tasauf dan adab muslimin.

Kecenderungan pemimpin-pemimpin PAS sebelum itu tidak banyak beza dengan ahli-ahli politik lain. Mengutarakan mesej yang menggirang dan menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS; sama seperti ahli politik parti lain.

Kadangkala untuk mempamerkan keyakinan diri yang tinggi ahli-ahli politik tidak segan silu mendandan kenyataan-kenyataan mereka dengan maklumat separuh benar.

Ada kala untuk menyorok kebenaran dan ada kala untuk menafsirkan sesuatu peristiwa agar penyokong tidak berasa terlalu cemas, tertekan atau berasa rendah diri untuk menyatakan diri sebagai penyokong parti.

PAS sejak berontak keluar daripada Umno kerana menuntut supaya peraturan dan perundangan Islam dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya dahulu, kemudian memeta masa depannya “salin tak tumpah” macam parti politik lain.

Sampai satu ketika PAS terikut-ikut falsafah saingan terdekatnya, Umno, untuk bersikap pragmatik. Baik di segi perjuangan pembentukan sosial, ekonomi dan pendidikannya, pendekatan PAS agak tidak terlalu jauh dengan pemikiran Umno.

Akhirnya, bukan sahaja PAS terpengaruh dengan jalur pemikiran politik Umno, ia juga cuba untuk mencari rakan seperjuangan seperti Umno. Apabila lahir Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS terjebak untuk berkawan dengan parti pragmatik ala-Umno itu.

Maka PAS bukan sahaja merapati pemikiran liberal (orang PKR condong mengatakan mereka adalah Muslim Demokrat) malah berasa selesa dengan cara dan gaya politik Umno. Yang menyantuni pemikiran begini ialah profesional PAS.

Dalam menzahirkan ragam politik ulama dan pemikiran kontemporari seperti Racid Ghanousyi dari Tunisia, golongan profesional ini mahu PAS bersalin kulit tidak terlalu terikat dengan pendekatan politik konservatif.

Kekuatan berhujah dengan sekali-sekala merujuk dan berpandukan al quran dan hadis, golongan ini mendapat tempat istimewa dalam PAS sehingga timbul keyakinan di kalangan mereka PAS akan lebih berjaya jika menganut faham muslim demokrat.

Di sini bermula titik perubahan. Golongan profesional secara kolektif mahu demokrasi dihayati sepenuhnya dalam PAS dan mencabar dekorum politik ulama PAS.

Mereka tumpas; meninggalkan PAS dan tubuhkan parti baru untuk menjadi “rahmat sekalian alam”. Malangnya, pemikiran ini hanya retorik. Setelah lebih setahun ‘rahmatan lil ’alamin’ tidak dapat menggamit ramai ahli bukan Islam.

Sebaliknya, rahmat sebenar dirasakan oleh pemimpin dan ahli PAS yang tinggal. Kini mereka lebih mudah memahami dan menghayati kaedah bahawa berkecimpung dalam politik cuma satu jalan mencari keredhaan Allah.

Yang penting bagi PAS hari ini ialah menyampaikan risalah dan cara pemikiran Islam mendepani masalah kehidupan dan menawarkan formula Islam dalam merungkai setiap kerumitan kehidupan rakyat.

PAS pun lebih bebas melakukan muhasabah diri. Amalan politik seperti cabar mencabar dan cuba menegakkan kebenaran dengan memenangi perdebatan mula dikurangkan.

Aktiviti helah media untuk mengeliru dan menyorok kebenaran semakin dihindarkan dan pemimpin-pemimpin bercakap dan mengulas peristiwa politik bersandarkan usul fiqh dan keadilan.

Sebab itu, PAS semakin selesa tidak menyertai perhimpunan yang boleh diibaratkan sebagai ‘bughah’ seperti BERSIH 5 dan kegiatan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketakutan dalam masyarakat.

Setiap masalah umat mesti ditangani dengan bijaksana dan sentiasa menjadikan usaha memelihara kesejahteraan rakyat sebagai asas pertimbangan. Ini memudahkan PAS bercakap dan mencari formula penyelesaian pelbagai masalah ummat dengan tenang dan terpimpin mengikut sunnah dan al quran.

Ini bukan soal mengatur tindakan nekad menghadapi pilihanraya sendirian. Soal kalah atau menang adalah ketentuan Allah. Namun bagi PAS setiap tindakan bermula dengan niat bersih untuk menghidupkan kesejahteraan ummat.

PAS mungkin sedar di segi jangka pendek ia akan mengalami sedikit kerugian. Sesungguhnya kedudukannya dalam Pakatan Rakyat memang agak menguntungkan di segi politik hingga boleh berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang.

Namun kerugian itu adalah sementara. Dengan terkikisnya golongan pro-pemodenan dalam parti, PAS sudah boleh fokus kepada idealisme perjuangannya mahu membentuk peribadi ummah dan memelihara maruah Islam.

Kini tiada unsur atau parti luar yang boleh menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan PAS untuk mencapai matlamat perjuangan Islamnya. Yang mengkritik aliran perjuangannya ialah DAP dan AMANAH.

Kini PAS tidak mahu terbabit dalam kerjasama dengan keduanya. DAP sudah terbukti alergik dengan cita-cita Islam PAS.

Sementara AMANAH pula jelas mengkagumi aliran pemikiran dan cara berpolitik PKR yang takut menyokong Islam kerana bimbang  tidak disenangi rakan politik PKR dan PPBM yang sebenarnya boleh dianggap satu acuan dengan Umno.

Mungkin di segi menghayati pesan Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa ‘peperangan itu tipu muslihat’ PAS mungkin bersedia membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik.

Bagaimanapun seperti yang sudah seringkali disebut oleh pemimpin-pemimpin PAS, kerjasama dan strategi politik bersama parti-parti politik ini mestilah mengikut peraturan Islam dan tidak mengganggu rukun hidup parti PAS.

Sejak AMANAH didirikan dan PPBM pula muncul serta DAP bertalak tiga, PAS lebih bahagia dan menghayati politik dalam suasana lebih harmoni dan bahagia.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana