Lebih mudah PAS-Umno tentukan Islam jadi syarat perpaduan

 Umno dan PAS sedia dan boleh bekerjasama menurut prinsip ta’awun dan tabayyun. Bagaimanapun kedua-dua pihak akur bahawa buat masa ini untuk menjalin hubungan politik atau tahaluf siyasi adalah hampir mustahil.

Ini kerana PAS baru sahaja pulih daripada pengalaman pahit tujuh tahun menyulam tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Dalam hubungan itu PAS ditalak dari Pakatan Rakyat melalui tindakan unilateral DAP.

Lebih memedihkan PAS ialah satu lagi kerabat PKR yang dipimpin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hanya bungkam, kelu dan hanya memerhatikan sahaja tindakan DAP itu.

PKR hanya berharap umum akan faham betapa sukar baginya mencampuri sengketa di antara PAS dan DAP tahun lalu kerana ia mempunyai kepentingan memelihara hubungan baik dengan kedua-dua parti berkenaan.

PKR terjebak maksud pepatah “ditelan mati emak, diluah mati bapa”. Ia memerlukan kerjasama DAP dan PAS bagi memastikan kerajaan negeri Selangor yang dipimpinnya tidak goyah.

Maka maksud tahaluf siyasi yang diamalkan PKR menjadi sketsa orang beristeri dua – kerap tidak jujur kepada kedua-dua isterinya “demi memelihara keharmonian rumahtangga”.

PAS bertaklid pada konsep tahaluf siyasi demi menjalin hubungan politik dengan DAP walaupun ia menghidu parti itu berpenyakit Islamofobia dan PKR pula enggan mengaku ia parti Islam. Namun PAS perlu formula baru untuk meneruskan perjuangannya.

PAS nekad mulakan langkah baru untuk survival politik

Setelah bermuhasabah PAS insaf ia harus bertindak matang dan mengamalkan politik sejahtera bak kata pepatah “menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”.

Sasaran PAS ialah menerbitkan kesejahteraan bagi setiap ikhtiar politiknya. Puas ia mencari padanan di kalangan parti politik sedia ada dan akhirnya menjalin kerjasama dengan IKATAN dan BERJASA.

Namun PAS maklum buat masa ini kedua-dua parti itu kurang mampu memberi nilai tambah pada perjuangannya kerana ia memerlukan untuk mekar sedangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah amat terasa hadirnya.

PAS ada pilihan. Satu, kerjasama dengan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin bekas musuh ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun PAS tidak lupa sikap kasar Mahathir terhadap PAS ketika menerajui Umno. Mahathir sering mengejek dan memperlekehkan PAS, terutama bekas Mursyidul Amnya, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru PAS tidak ghairah memilih PPBM. Mungkin yang amat teruja mahu bekerjasama dengan Mahathir ialah bekas Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar yang hadir dalam hampir setiap acara Mahathir.

Kedua, PAS boleh menyahut sapaan PKR. Di Selangor PAS masih bekerjasama mentadbir negeri itu. Lantas agak munasabah PAS menggabungkan diri dengan strategi politik Pakatan Harapan melalui PKR.

Bagaimanapun PAS masih belum boleh lupa “kedurjanaan” politik dua lagi kerabat Pakatan Harapan – DAP dan AMANAH. DAP sudah mengisytiharkan tidak perlu PAS dalam kamus politiknya. Sementara dalam kes AMANAH, PAS enggan berkawan dengannya.

Walaupun PKR berikrar untuk terus memujuk PAS bersama melaksanakan projek politik ‘satu lawan satu’ menentang Umno-BN, namun PAS masih belum betah dengan AMANAH yang didirikan oleh “pengkhianat” perjuangan PAS.

Ketiga, PAS boleh pilih Umno. Perihal Umno, seperti PAS kini berhadapan dengan pengkhianat-pengkhianat perjuangannya adalah rahsia umum. Ia menghadapi PPBM sementara PAS pula berhadapan AMANAH.

Namun sebaliknya jika PAS bersatu tenaga dengan Umno, banyak laba politik yang dapat digarapnya.

Umno parti Melayu-Islam terbesar di negara ini dengan keahlian hampir 3.5 juta. PAS pula ialah parti Melayu-Islam kedua terbesar dengan ahli hampir 1 juta orang.

Jika mereka bekerjasama, mudahlah kedua-duanya menundukkan parti-parti yang dipimpin oleh majoriti Melayu seperti PKR dan Amanah serta PPBM.

Biarpun jadi parti pingitan, PAS tidak gopoh

Namun PAS tetap berhati-hati memilih pasangan politik. Masih ada kalangan ahli PAS yang menganggap Umno sebagai musuh kerana sukar menukar persepsi bahawa Umno “kurang jelas perjuangan Islamnya”.

Begitu yakin golongan ini akan perbezaan PAS dengan Umno sehingga Allahyarham Nik Aziz pernah menyatakan bahawa jika Umno sanggup menjadikan Islam asas perjuangannya, PAS sanggup bubar dan membantu Umno.

Keadaan agak berbeza sekarang. Sedikit demi sedikit Umno semakin berhasil membuktikan bahawa yang menerajui Pakatan Harapan kini ialah DAP.

Bukan sahaja ia mempunyai kerusi Dewan Rakyat terbanyak, ia juga kelihatan semakin alergik terhadap apa sahaja isu poliik yang berkaitan Islam.

Dalam menghadapi cabaran dari kalangan bekas ahli-ahlinya yang berusaha menjatuhkan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno kini didorong dan hanyut lebih dekat pada pusar pemikiran Islam.

Berpaksikan konsep wassatiyah dan usaha mewujudkan Indeks Syariah bagi menilai prestasi kementerian dan jabatan kerajaan Umno sebenarnya semakin gesit melangkah ke sfera pemikiran Islam.

PAS sendiri yang sudah lebih suku abad mentadbir Kelantan tidak bergerak ke arah pemikiran sedemikian. Lantas ini membuka peluang pada kedua-dua parti untuk mengeratkan lagi kerjasama meranumkan idea perpadun demi rakyat.

Masih banyak perkara yang perlu diperkemaskan jika PAS sudi menyambut seruan perpaduan yang dibuat oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak khamis lalu.

Di satu sisi kelebihan Umno ialah ia berpengalaman mentadbir keperluan rakyat bukan Melayu-Islam dengan berkesan. Iklim kerjasama dengan MCA, Gerakan, MIC, PBB, PBS dan seumpamanya seharusnya meyakinkan PAS bahawa Islam boleh menyatu rakyat pelbagai kaum dan agama.

PAS harus insaf bahawa kefahaman dan penghayatan Umno mengenai konsep ta’awun dan tabayyun semakin meningkat dan ini seharusnya menatijahkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahaluf siyasi dengan DAP yang gagal dek Islamofobianya.

Bekerjasama dengan Umno PAS akan meninggalkan kesan besar dalam mengukuhkan perpaduan umat Melayu-Islam. Malah ia juga akan memperbaiki lagi konsep “PAS for All” yang dijaja bersama DAP.

PAS ingin tahaluf atau ta’awun yang hendak dijalin dengan entiti politik lain mesti disandarkan pada ajaran Islam. Adalah lebih mudah bagi Umno mengisi syarat ini berbanding PKR, Amanah, PPBM. Umno adalah parti Islam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana