Jangan main sorok-sorok...mari lawan depan-depan - Khairy

Mungkin ramai yang tidak sedar taktik ini.Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin mengingatkan agar waspada pada unsur 'musuh dalam selimut' di kalangan ahli UMNO yang sudah berpaling menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk buat serang hendap pada pilihanraya umum ke 14 nanti.

Beliau mendedahkan sudah dengar cerita bahawa ada arahan dari pimpinan Parti Pribumi untuk ahli UMNO yang sudah berpaling tadah dan mahu berhijrah kepada parti itu untuk sorokkan dahulu pertukaran sembunyikan dahulu pembelotan.

Katanya mereka diminta hanya muncul untuk mengejutkan UMNO dengan serangan hendap ketika semboyan kempen pilihanraya sudah berbunyi apabila sudah terlewat untuk bertindak dan jentera pilihan raya dilumpuhkan oleh sabotaj dalaman.

Dalam ucapan dasar di himpunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi Rabu ,Khairy meminta ahli parti  tidak pandang rendah kepada parti serpihan yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawan BN.

“ Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng bahawa sasaran Parti Pribumi adalah pengundi tegar kita dan kubu-kubu kita. Parti Pribumi tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap UMNO – kawasan seperti Muar, Langkawi, mungkin Rembau,”katanya.

Beliau mengakui keadaan ini bahaya bagi parti sebab mungkin masih ada sentimen dikalangan penyokong dan ahli UMNO yang masih mengenang jasa mereka yang hari ini terang-terangan mengkhianati parti.

“Biasalah orang Melayu. Tebal dengan rasa hormat dan penghargaan. Tapi ingat, mereka yang pernah menjadi pemimpin kita, rakan kita satu ketika dahulu sudah jelas menentang kita. Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan, berpatah arang dengan Mahathir,Muhyiddin dan Mukhriz,”katanya.

Khairy mengingatkan setiap ahli Pemuda – sekarang bukanlah masa untuk kesetiaan dan kasih sayang yang berbelah bahagi.

“Tidak boleh ada walau sekelumit rasa simpati terhadap mereka yang satu ketika pernah bersama namun kini menyanggah perjuangan kita.Kita sedang berperang. Yang menentang, kita lawan. Yang tidak ingin bersama UMNO, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan.

“Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan,” kata Khairy.

Dalam ucapan itu Khairy telah ambil pendekatan menerusi paparan video untuk menerangkan secara jelas pelbagai ‘ u-Turn’ dalam pendirian berbanding dulu yang dilakukan oleh Dr Mahathir kebelakangan ini.

Katanya  bagi Tun Dr Mahathir, gerakan jalanan yang satu ketika dahulu beliau musnahkan dengan tindakan FRU, ISA dan kuku yang besi, hari ini disokong dan disanjung sebagai suara rakyat yang sebenar.

Kesanggupan berpusing 180 darjah dan membuat pusingan U pastinya bukan kerana prinsip, tetapi kerana mahu kuasa hingga matlamat itu menghalalkan segalanya.

“Inilah yang mendepani kita sekarang. Bukannya musuh politik biasa. Tetapi musuh yang mengamalkan seni politik segala kemungkinan. Seni politik sapu sahaja - janji boleh. Seni politik yang tiada setiakawan. Seni politik Machiavelli yang tiada pegangan nilai atau makna. Yang bertopengkan rakyat tetapi bermatlamatkan kuasa.

“ Tetapi jangan kita lupa, jangan kita biar rakyat lupa - bahawa perjuangan yang kononnya mulia oleh bekas pemimpin kita ini sebenarnya sebuah wayang dan muslihat. Sebuah hipokrasi mengejar takhta, membina legasi dan empayar.

“Memang benar kata orang, bila di luar sana, bila tak berjawatan, cukup senang mengutarakan dusta. Namun sewaktu dia berjawatan, prinsipnya cukup berbeza.

“ Beliau pun sendiri pernah berkata - Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa,Melayu mudah lupa,”kata Khairy

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana