UMNO dan PAS perlu berkerjasama tegakkan agama...

Beberapa anggota Parlimen berpendapat kerjasama politik antara UMNO dan PAS dalam memperkukuh hubungan serta perpaduan Melayu-Islam perlu dilaksanakan demi kesejahteraan umat Islam.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berkata walaupun PAS mempunyai dasar perjuangan tersendiri, pihaknya sentiasa terbuka dan rasional dalam soal kerjasama dengan UMNO terutama melibatkan kepentingan umat Islam.

“Saya rasa perkara ini sudah lama dilontarkan. Kami tidak ada masalah dalam hal ini khususnya untuk mengekalkan kuasa Islam dalam negara.

“Bagi saya kuasa Islam mesti dipertahankan oleh setiap umatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen Isnin.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS itu mengulas kenyataan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung kerjasama itu ketika menjadi speaker Diskusi Agama pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0, semalam.

Jamil yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerjasama sedemikian adalah dituntut malah disebut di dalam al-Quran bagi memastikan survival umat Islam secara keseluruhannya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pula menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi saya tidak ada ruang untuk PAS ambil jalan bersendirian untuk menegakkan agama,” katanya.

Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Beaufort) pula mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama demi kepentingan rakyat, namun kedua-dua pihak perlu berusaha untuk merealisasikan perkara itu.

“Kita mahu bawa pembangunan kepada rakyat. Maka kita perlukan negara yang stabil dengan rakyatnya bersatu padu dan tidak terlalu mementingkan politik,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment