"UiTM bukan sebarang universiti" - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah di Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

“Menyingkap perjuangan bangsa: UiTM, antara harapan dan pencapaian”


Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa, dianjurkan sempena sambutan enam puluh tahun penubuhan UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM).  UiTM, ialah sebuah institusi pendidikan negara yang ditubuhkan khusus, untuk membangunkan modal insan Melayu dan bumiputera di negara ini.

MESTI BACA: Melayu perlu jadi kaum yang kurang meminta - Sultan Nazrin

2. UiTM telah melalui pelbagai tahap pembangunan bermula dengan pembentangan ‘Paper No.10/1951’, oleh Dato’ Onn bin Jaafar (Allahyarham) di dalam Federal Legislative Council untuk menubuhkan RURAL AND INDUSTRIAL DEVELOPMENT AUTHORITY, lebih dikenali dengan ringkasan nama RIDA.   RIDA ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, dengan tujuan, antara lainnya, untuk mempertingkat status sosioekonomi dan kesejahteraan umum orang Melayu. Seksyen 5 kertas yang dibentangkan secara jelas menetapkan objektif penubuhan RIDA:

“In order to be able to utilize the resources of government and to stimulate the interest and obtain the support of the people in the kampongs, it is essential that every effort be made to bring the people closer to the government, and train them to bring their needs before the government through a systematic channel, initiating from the kampongs and moving progressively to RIDA as the appropriate instrument set up for the purpose.”

3. Orang kampung yang dimaksudkan, merujuk kepada masyarakat desa yang terdiri daripada orang Melayu.  Semasa Tanah Melayu berada di bawah naungan pemerintahan Inggeris, orang Melayu, telah dinafikan banyak perkara di tanah airnya sendiri, terutama, di bidang-bidang perniagaan, perdagangan, usahawan, pekerjaan dan pelajaran.  Ungkapan-ungkapan ‘dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di riba mati tak makan’, ‘ayam di kepuk kelaparan – itik di air kehausan’, ‘sepuluh jong masuk – anjing tetap bercawat ekor’, memberikan gambaran, rintihan pedih, penderitaan yang dialami oleh majoriti anak bangsa ketika itu, menghadapi nasib disisihkan daripada arus pembangunan.  Bangsa melihat kemakmuran buminya diteroka, hasil mahsul buminya dikaut, melimpahkan rahmat kepada orang lain, sementara peribumi merintih sendiri.
 
4. Menyediakan peluang latihan dalam bidang-bidang profesional, adalah salah satu kaedah yang dikenal pasti, dapat membantu meningkat tahap kemajuan orang Melayu.  Dewan Latihan RIDA ditubuhkan pada November 1956, dan dirasmikan pada 14 Februari 1957, oleh Menteri Perdagangan dan Industri, Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman (Allahyarham).  Dua puluh lima (25) pelajar pengambilan pertama telah mengikuti kursus persediaan London Chamber of Commerce, stenography, secretaryship dan accountancy.  Kursus-kursus untuk peniaga-peniaga kecil, turut dianjurkan.  Konvokesyen pertama pada tahun 1962, menyaksikan lima puluh graduan menerima sijil daripada Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussein (Allahyarham).

5. Dua peristiwa pada tahun 1965, telah mempengaruhi arah haluan program pendidikan dan latihan di negara ini, terutama agenda pendidikan bumiputera.  Peristiwa pertama ialah ‘Kaji Selidik Tenaga Manusia’ yang dilakukan antara Februari hingga Mei 1965.  Kaji Selidik yang dibiayai oleh Kerajaan Malaysia dan dilaksanakan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bertujuan menaksir keperluan tenaga manusia, ketika negara sedang menggubal Pelan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970).  Kaji selidik tersebut menunjukkan negara, menghadapi kekurangan ketara tenaga profesional, yang memerlukan negara menambahbaik dan menyusun semula program pendidikan.

6. Peristiwa kedua, ialah ‘Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama’ yang berlangsung pada 5 hingga 7 Jun 1965.  Antara perkara yang mendapat perhatian utama Kongres ialah pembangunan yang tidak seimbang antara bandar dan desa serta kedudukan sosial dan ekonomi bumiputera.  Kongres Ekonomi Bumiputera telah menghasilkan 68 resolusi.  Dua puluh dua daripada resolusi yang dihasilkan, menyentuh RIDA, mengusulkan supaya dilakukan penilaian semula peranan dan objektif penubuhan RIDA.  Susulan daripada Kongres tersebut, Majlis Amanah Rakyat, atau MARA telah ditubuhkan.  Dewan Latihan RIDA bukan sahaja ditukar namanya kepada Maktab MARA, tetapi turut melibatkan rombakan serta tambahbaikkan kursus-kursus dan kurikulum yang ditawarkan.  Pada 14 Oktober 1967, ketika upacara peletakan batu asas di kampus Shah Alam, Tun Abdul Razak Dato’ Hussein (Allahyarham), mengumumkan, Maktab MARA ditingkatkan ke taraf institut, dikenali dengan nama Institut Teknologi MARA (ITM).

7. Bermulalah kisah kejayaan sebuah institusi pendidikan negara.  Seawal tahun 1973, ITM mula menunjukkan kejayaan menyerlah.  Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Amanah Rakyat (Pindaan) pada 18 Julai 1973, ahli Parlimen Batu, Yang Berhormat Dr. Tan Chee Khoon, seorang ahli Parlimen bukan keturunan Melayu, dan bukan wakil daripada parti pemerintah, telah memberikan pengiktirafan terbuka terhadap pencapaian ITM dengan kata-kata berikut:

“Mr. Speaker Sir, MARA should concentrate on training and in this connection, I wish to congratulate the M.I.T., or the Mara Institute of Technology, on the excellent work it is doing.  In the words of the Deputy Prime Minister, MARA has a sacred mission to carry out and it is undertaking this task with great success.

The M.I.T. or I.T.M., shows what a dedicated Malay can do for the Bumiputras and this afternoon, I wish to congratulate Dr. Arshad bin Ayub on the excellent work he is doing for M.I.T.  His sterling work for the M.I.T. and the nation has been recognised by the Ohio University which has recently conferred on him the Honorary LL.D.  Malaysia can be justifiably proud of Dr. Arshad bin Ayub, but literally he is a prophet without honour in his own country.”

Tan Sri Dr. Arshad bin Ayub, kini hampir mencecah usia lapan puluh lapan tahun.  Beliau ada bersama kita di Dewan ini. Yang Berbahagia Tan Sri Arshad, rakan-rakan seangkatan, juga rakan-rakan sebelum dan selepas beliau, berjasa besar kepada bangsa dan negara, dan akan terpahat di dalam sejarah.
Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan setiap mereka sebaik-baik ganjaran baik di dunia begitu juga di akhirat.

8. Semasa berlangsungnya, acara pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Syeikh Ahmad bin Muhammad Said Al-Linggi, telah dipilih memimpin bacaan doa; doa yang dirujuk sebagai ‘Doa Hari Kemerdekaan’.  Syeikh Ahmad, telah memohon enam perkara daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala.  Tiga daripada enam perkara tersebut, khusus menyentuh orang Melayu dan hak keistimewaan umat:

Pertama:

“YA ALLAH! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.”

Kedua:

“YA ALLAH! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang di idam-idamkan.”

Ketiga:

“YA ALLAH! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.”

9. Tiga permintaan yang diangkat supaya dimakbulkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala itu, adalah seiring dengan salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menegaskan:

“Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.”

10. Tiga konstituen utama, terlibat dalam merangka Perlembagaan Negara: Raja-Raja, Kerajaan Inggeris dan Parti Perikatan; menangani subjek-subjek sensitif, rumit lagi pelbagai, antaranya isu-isu agama, kaum, bahasa dan negeri; di samping merangka institusi-institusi utama negara, perundangan, kehakiman dan eksekutif, yang perlu mengambil tanggung jawab melayarkan sebuah bahtera merdeka.  Mengolah formula penyatuan dalam kepelbagaian, memerlukan kefahaman tentang fakta dan salasilah sejarah, memerlukan kesediaan berundur sebelum mara, memerlukan keberanian menerima realiti, memerlukan ketegasan mempertahankan prinsip.

11. Oleh itu amatlah bertepatan untuk diimbau kembali peristiwa bersejarah, bertarikh 10 Julai 1957, ketika Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), atas nama Ketua Menteri, membentangkan usul, penggubalan Perlembagaan, di Majlis Perundangan Persekutuan.  Beta memilih memetik bahagian tertentu daripada ucapan tersebut, dalam bahasa yang diucapkan, agar semangat dan intonasinya dapat diberikan apresiasi sewajarnya:

“At varying periods of our country’s history, the Sultans of the Malay States entered into treaties with Great Britain.  The Treaties provided, on the one hand, certain rights and concessions for Great Britain in return for protection to be accorded to Their Highnesses and protection for the interests and rights of the Malays.  This protection was entered in the various State Constitutions and Enactments and in the Federation of Malaya Agreement of 1948.  The position which the Malays enjoyed under this Treaty has never been contested by any person or class of persons or communities for it has not interfered or obstructed other communities in the enjoyment of their possessions or the right to live their lives.  The affluence of others has not helped the Malays but on the other hand it has caused them so much economic setback that they were driven out of the main towns and villages of this country.  The sum total of the Malay plight was that they have suffered in the field of economy as well as education....”

12. Yang Teramat Mulia Tunku, memperingatkan fakta sejarah dengan menyatakan:

“Everybody seems to have forgotten that there is a clause in the Federation of Malaya Agreement which gives to the High Commissioner the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities; corresponding power is given to the Sultans of old Unfederated Malay States.

The facts are that unless the Malays are protected there will be no place for them in Malaya.  This is proved to be so in Singapore and Penang.  Again to those who are nervous about their future, I would say – study closely Article 153 of the Federal Constitution.  They will find that the Yang di-Pertuan Agong is also required to safeguard their legitimate interests.”

13. Tan Siew Sin semasa perbahasan telah menyuarakan pendirian berikut:

“The Constitution has accepted the principle of equality of opportunity for all who regard this country as their real home and the object of their undivided loyalty.  It has however also continued to provide for what has been called the special position of the Malays.  Some Chinese quarters regard this as a contradiction of the main principle and hence unjust.  I beg to differ from them.  In the first place, the principle of the special position of the Malays has already been embodied in the Federation of Malaya Agreement.  The Malays therefore cannot be expected to give up what they already have in the same way that they do not expect the other communities to give up their existing rights.  Far more important, however, is the indisputable fact that as a race the Malays are economically backward and well behind the other races ...

The main object of this provision is to ensure that the Malays do not lose the little they already have, and if possible be given a reasonable handicap to enable them to catch up with the other races.

An economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya.  An economically depressed Malay community will never be able to achieve the desired degree of cooperation with the substantially more prosperous non Malay communities.

It has also been asked why it has not been explicitly stated that this provision is only temporary.  I would remind our critics that the Malays are a proud and sensitive race.  They are also an intelligent race, and I know that they appreciate the significance and implications of this provision far better than most people realise.”

14. V.T. Sambanthan antara lain telah memperingatkan:

“We hear it spoken Sir, of first-class citizen one who is badly provided with roads, has a leaky roof over his head, cannot even get a doctor on a rainy day even if his child is badly ill?  Is that person, be he in the kampung or estate or new village, the first-class citizen or is it he who has a bungalow in the Federal Capital, one, possibly in the Cameron Highlands and a couple more at a seaside resort who is a first-class citizen, I ask.

The basic issue is that we are trying to correct differences in the community.  An imbalance exists, and it exists for various reasons ...

.. The special position of the Malays will only touch the fringe of the Malays,  These basic improvements not only of the Malays but of the Chinese, Indians, will come from the economic programmes of the new Government ...

We have got to be careful; we have got to remember that a cry, if it is wrongly made, will be followed by a counter-cry, that suspicion begets suspicion, and trust begets trust. This is a country of various communities brought together by political, social and economic reasons.

Let us live as brothers. The traditions of Malaya are the highest traditions ... the traditions of brotherhood, of happy and peaceful living amongst each other.”

15. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum-kaum lain; antara tanggungjawab tersebut untuk menentukan perizaban bagi orang Melayu dan bumiputera satu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam, mengenai biasiswa, bantuan dan keistimewaan-keistimewaan pelajaran atau latihan, atau kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan satu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa tred atau perniagaan.

16. Penubuhan UiTM, adalah satu tanggungjawab, yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, dalam semangat menjunjung salah satu daripada tujuh titah wasiat Raja-Raja Melayu.   Langkah demi langkah dirintis untuk menubuhkan UiTM, tapak demi tapak UiTM mendaki tangga kejayaan.  Setiap pencapaian, membuktikan, ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memakbulkan ‘Doa Merdeka’, doa yang dipimpin bacaannya oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Said Al-Linggi, serta diaminkan oleh para jemaah, pada pagi 31 Ogos 1957.

17. Rang Undang-Undang Institut Teknologi MARA (ITM), dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir bin Mohammad, pada 13 April 1976.  Sepuluh ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, lapan dari Semenanjung dan dua dari Sarawak.  Lima daripada ahli-ahli Parlimen tersebut, meminta ITM menubuhkan cawangan di negeri-negeri.  Tiga daripada pembahas usul, ahli Parlimen Kepong, Yang Berhormat Dr. Tan Chee Khoon, ahli Parlimen Kota Melaka, Yang Berhormat Lim Kit Siang, dan ahli Parlimen Padang Serai, Yang Berhormat Lim Kiam Hoon, dengan hujah, mahu memupuk perpaduan kaum, mencadangkan supaya pintu ITM turut dibuka kepada semua warganegara.  Cadangan tersebut dibidas oleh ahli Parlimen Balik Pulau, Yang Berhormat Shamsuri Md. Salleh dengan hujah:

“Tuan Yang di Pertua, peruntukan yang diberi kepada Institut Teknologi MARA oleh Kerajaan itu kalau dinilai dengan emas, maka emas itu hanya sesaga, kalau dinilai dengan tanah, maka tanah itu tidak lebih hanya sebesar kelangkang kera.  Emas sesaga, tanah yang sebesar kelangkang kera itulah yang diungkit-ungkit, disebut-sebut, ditagih oleh pihak Pembangkang untuk dikongsi dengan orang-orang bukan bumiputera, atas alasan hendak mewujudkan perpaduan negara, hendak membasmi kemiskinan, dengan tidak kira kaum.”

18. Yang Amat Berhormat Dr. Mahathir bin Mohammad, semasa menggulung perbahasan telah menolak cadangan untuk membuka pintu ITM kepada semua warganegara, dengan hujah bahawa perpaduan tidak wajar hanya di desak untuk dilaksanakan di ITM, sedangkan ahli-ahli Yang Berhormat dari Kepong dan Kota Melaka, seringkali menuntut diperbanyakkan lagi penubuhan sekolah-sekolah aliran Mandarin dan Tamil.  Dr. Mahathir menyeru agar mereka yang bersungguh mahu merealisasikan agenda perpaduan nasional untuk membuktikannya dengan menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan.  Sebagai seorang yang berlatar belakang doktor perubatan, beliau turut mengukuhkan hujah, tidak akan membuka pintu ITM kepada bukan bumiputera, dengan mengambil contoh perbandingan kes perubatan arterio-venous shunt, satu analogi, hubungan saluran di antara arteri dengan vena.  Dua puluh tiga tahun selepas itu, ketika berjawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir bin Mohammad mengisytiharkan ITM bertaraf universiti, pada 26 Ogos 1999.

19. UiTM telah berjaya memenuhi visi dan misi untuk membangunkan sumber manusia Melayu.  Kejayaan yang dicapai, telah menjadi sumber inspirasi untuk mencipta kejayaan lebih gemilang.  Setelah enam puluh tahun penubuhannya, UiTM kini memiliki enrolmen 165 ribu pelajar, disokong dengan kekuatan lima ratus program pengajian akademik yang dikendalikan oleh 24 fakulti serta 4 pusat pengajian.  Di samping kampus induk di Shah Alam, tersebar di serata negara 12 kampus cawangan dan 21 kampus satelit yang tanggungjawabnya didukung oleh 18,188 staf akademik, staf pengurusan dan staf sokongan.  Sehingga November 2016, UiTM telah mencatat rekod menghasilkan 687,176 graduan.

20. UiTM berjaya melatih tenaga mahir – tenaga profesional bumiputera, sekali gus turut memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru; pertama: untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum; dan kedua: mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia, untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi, supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum, mengikut fungsi ekonomi. Puluhan ribu graduan yang dihasilkan oleh UiTM telah dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan, dan puluhan ribu yang berada dalam kategori menengah Melayu hari ini, terdiri daripada graduan UiTM.  Peningkatan angka golongan menengah Melayu, setidak-tidaknya membantu, menyediakan orang Melayu dengan satu angkatan baru yang memiliki modal insan dan modal budaya yang lebih tinggi, serta secara tidak langsung dapat mengurangkan kegelisahan bangsa seperti yang diperingatkan oleh Tan Siew Sin dalam ucapannya, “an economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya”.

21. Mempertahankan kejayaan dan meneruskan rekod kecemerlangan menghadapi dugaan dan cabaran lebih besar daripada usaha merintih kejayaan dan mencipta kecemerlangan.  Manusia  lazimnya mudah alpa ketika dilambung ombak kejayaan. Ibni Khaldun merumuskan kitaran naik turun tamadun bangsa, melalui lima fasa.  Fasa pertama, generasi yang berjuang untuk membebaskan penindasan tanah air.   Fasa kedua, generasi yang membina dan membangunkan tanah air yang merdeka. Fasa ketiga, generasi yang menikmati hasil pembangunan.  Fasa keempat, generasi yang tidak lagi menghargai pahit jerih perjuangan lalu bersengketa dan teralpa menjaga keutuhan.  Fasa kelima, generasi yang perlu membayar harga tinggi setelah bangsa menjadi lemah, diikuti dengan berlakunya keruntuhan tamadun.
22. Pada fasa manakah bangsa berada ketika ini.  UiTM sebagai gedung yang sarat ilmu dan terhimpunnya para sarjana dan ilmuwan yang arif lagi bijaksana, hendaklah bijak membaca situasi, dan menyatakan hakikat dan realiti, secara jujur – secara ikhlas, secara tepat – secara faktual, agar kalau sudah tersesat di hujung jalan, dapat kembali ke pangkal jalan.  Selamilah kembali harapan dan impian yang disuarakan oleh para pejuang bangsa, dalam fasa pertama dan fasa kedua, generasi yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan generasi yang berusaha untuk memberi makna kepada kemerdekaan; mereka yang telah mengabadikan jiwa raga, tenaga dan usaha, berkorban masa dan harta benda, semata-mata untuk negara dan bangsa. Dalam ucapannya, ketika meletakkan batu asas kampus ITM, pada 14 Oktober 1967, Tun Abdul Razak (Allahyarham) antara lain menyatakan:

“Tiap-tiap penuntut MARA yang berdiri di hadapan khalayak ramai petang ini, mestilah menyifatkan istiadat meletak batu asas Institut Teknologi MARA sebagai satu ketika, riwayat hidup mereka itu, bagi meletakkan batu asas pendirian mereka itu sendiri, yang teguh lagi bermakna, bersendikan semangat yang cergas lagi dinamis, menyambut dan menjunjung hasrat, amanah rakyat bumiputera pada mereka, supaya mencari ilmu pelajaran, latihan dan kemahiran yang betul-betul akan menukarkan cara dan corak mereka itu berfikir, dan hidup dengan lebih mewah, mulia, kaya dan segar yang benar-benar akan memberi makna pada bangsa dan nusa mereka kelak.

Bangunan batu, kutub khanah berhawa dingin, bilik makmal dan tapak yang lebih lebar ini tidak akan menjadi Maktab atau ITM yang berguna jikalau pandangan penuntut tidak saujana, dan fikiran, kemahuan dan semangat mereka tidak dinamis”.

23. Tun Abdul Razak menyuarakan ingatan agar setiap penuntut MARA bersemangat cergas lagi dinamis.  Setiap penuntut diingatkan untuk menjunjung amanah rakyat.  Sesungguhnya, mencari ilmu dan mendapatkan kemahiran itu adalah sebahagian daripada amanah bangsa kerana gedung ilmu ini, dibiayai oleh sumber kewangan negara.  Sumber kewangan negara, adalah milik rakyat jelata, diamanahkan untuk ditadbir urus oleh kerajaan yang diberikan mandat kepercayaan oleh rakyat.  Derhakalah pemimpin kepada rakyat dan derhakalah rakyat kepada bangsanya, jika pemimpin dan rakyat melakukan perbuatan pecah amanah.  Akan terungkailah simpul kesetiaan, akan retaklah semangat penyatuan, akan luntur segala penghormatan.

24. Para penuntut yang telah diperkayakan dengan ilmu – para penuntut yang dilengkapkan dengan kemahiran, diharapkan untuk menukar cara dan corak berfikir, memperlihatkan watak insan berilmu.  Pendidikan itu bertujuan untuk menggantikan minda perhambaan yang kosong dengan minda merdeka yang terbuka.  Ahli falsafah keturunan Greek, Epictetus, yang dilahirkan seorang abdi di Hierapolis, menyifatkan hanya orang berilmu, memilik kebebasan minda.  Kebebasan minda boleh diberikan ilustrasi yang baik dengan memetik kisah seorang Mullah.  Diceritakan Mullah Nasaruddin mempunyai jiran, yang berperangai suka meminjam, tetapi tidak memulangkan barang pinjaman.  Pada satu hari, jirannya berhajat meminjam keldai. Mullah Nasaruddin lalu menyorok keldainya di dalam bangsal, mengatakan kepada jirannya, keldai tersebut sudah tidak ada lagi, kerana telah diambil oleh adiknya.  Ketika jiran tersebut melangkah pulang, beliau terdengar ringkikan suara keldai, lalu berpatah balik dan bertanyakan Mullah, betulkah keldai yang dimaksudkan sudah tidak ada.  Mullah itu dengan yakin menjawab, adakah jirannya lebih mempercayai ringkikan suara seekor keldai atau lidah seorang Mullah.  Kerana taasub menghormati status seorang Mullah, jiran tersebut menelan jawapan Mullah Nasaruddin.  Moral daripada cerita ini, merumuskan, minda itu dianggap lebih terbuka dan merdeka, apabila ada kalanya, minda berupaya membezakan antara kebenaran dan penipuan, tanpa mengira daripada suara siapa, samada seorang Mullah ataupun seekor keldai.  Ada kalanya, keldai yang dianggap dungu, lebih jujur, ikhlas dan telus daripada seorang Mullah yang berstatus tinggi.

25. Tun Abdul Razak juga mahu melihat penuntut keluaran MARA dapat hidup lebih mewah, lebih mulia, lebih kaya dan lebih segar tetapi hendaklah memberi makna kepada bangsa dan nusa, dan tidak semata-mata untuk memenuhi nafsu haloba tanpa batasan, hingga matlamat menghalalkan cara.  Hasrat untuk dapat hidup lebih mewah dan lebih kaya hendaklah dirangkaikan dengan nilai dan imej lebih mulia.  Kemewahan dan kekayaan yang diperoleh melalui kaedah yang hina, secara menipu, secara merompak, secara tidak jujur dan secara rasuah, tidak memberikan imej mulia; malah kekayaan sedemikian bukan sahaja meletakkan seseorang berada dalam lembah kehinaan, hilang penghormatan di dunia, malah jika kemungkaran telah dilakukan, pendustaan dan kepalsuan, tidak akan terlindung ketika berhadapan dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala, di Mahkamah Rabbuljalil, pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti.  Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah mengingatkan yang bermaksud:

“Demi ALLAH! Aku tidak bimbang kefakiran yang menimpa kamu tetapi apa yang aku bimbang ialah apabila dibentangkan dunia, sebagaimana yang telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu mereka merebut kemewahan dunia itu, maka kamu juga akan berebut, sebagaimana mereka, maka kamu akan dibinasakan sebagaimana binasanya umat sebelum kamu”.

26. Sasaran kuantitatif telah dicapai.   Pencapaian cemerlang tersebut wajib dilengkapkan dengan kualiti.  UiTM bukan sebarang universiti.  UiTM ialah sebuah universiti yang dibangunkan berlatarbelakang agenda Melayu mempunyai visi dan misi khusus untuk Melayu.  Perlembagaannya menetapkan Canselor UiTM ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.  Universiti ini wajib mencanai dan menggarap permata bangsa dengan sifat-sifat mulia insan Melayu berpaksikan Islam.  Graduan UiTM dan seluruh bangsa Melayu wajib merenung secara mendalam, kata-kata yang terkandung dalam ucapan Tan Siew Sin, ketika membahaskan usul penggubalan Perlembagaan, di Majlis Perundangan Persekutuan pada 10 Julai 1957:

“ ... that the Malays are a proud and sensitive race.  They are also an intelligent race,”

27. Orang Melayu telah membuktikan kita bangsa yang sensitif.  Tetapi orang Melayu lebih wajib membuktikan bahawa kita adalah bangsa yang bangga, bangsa yang memiliki maruah – memiliki harga diri; bila berjanji, janji ditepati; bila berhutang, hutang dibayar; bila bertutur, tidak berdusta.  Jadikanlah kita bangsa yang bangga, bangsa yang memiliki maruah – memiliki harga diri dengan berazam untuk lebih bersedia memberi dan kurang meminta.  Bantulah bangsa kita, untuk dapat berbangga, bantulah bangsa kita agar memiliki maruah – memiliki harga diri, dengan menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada Melayu yang benar-benar kompeten, berwibawa, bertenaga, berkemahiran, berpengalaman, berpengetahuan dan berintegriti, daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit, berniaga secara buluh kasap, untung tiada, modal pun lesap.  Muliakan bangsa Melayu, dengan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya.  Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti.  Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar, dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga, atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa.  Setiap kegagalan - setiap kesilapan,  yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa.

28. Graduan UiTM hendaklah memiliki identiti insan amanah - insan jujur, insan bertakwa, insan tawaduk dan insan berintegriti; insan yang insaf bahawa setiap perbuatan dan perilaku, niat dan kata, diawasi oleh dua Malaikat, Kiraman dan Katibin, yang berada di bahu kanan dan bahu kiri.  Graduan UiTM, hendaklah disemaikan dengan pegangan bahawa setiap tugas adalah amal, dilaksanakan atas nama ILAHI, tidak ada kesetiaan yang boleh mengatasi ketaatan terhadap ALLAH Subhanahu Wata’ala, selaras dengan ayat 162 dan 163, Surah Al-An’aam yang bermaksud:

“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH, Tuhan yang mentadbir sekalian alam.  Tiadalah sekutu bagi Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama berserah diri kepada ALLAH”.

29. Dato Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak, gandingan dua tenaga yang telah mengasaskan idea di sebalik penubuhan UiTM telah lama meninggalkan kita.  Impian Dato’ Onn telah dijadikan realiti.  Harapan Tun Abdul Razak berjaya direalisasikan.  Akan sejahteralah roh kedua-dua Allahyarham itu melihat rekod kejayaan yang dicapai oleh UiTM pada hari ini, mengisi kelangsungan satu perjuangan bangsa.  Roh-roh mereka akan lebih sejahtera berehat di alam barzakh, jika seluruh warga UiTM dapat menghayati dan selanjutnya mengamalkan semangat pengorbanan tinggi yang telah dipamerkan oleh mereka berdua, terutama dari sudut integriti, menjunjung amanah, berbakti dan berkorban, demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.  Sempena acara sambutan enam puluh tahun usia UiTM, sama-samalah kita menghargai jasa dan khidmat bakti barisan pemimpin yang mempunyai wawasan dan bertanggungjawab di sebalik kejayaan UiTM, serta setiap seorang yang telah mencurahkan jasa bakti membangunkan UiTM.  Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan ganjaran rahmat kepada mereka semua, dan kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah, kita pohonkan ihsan ILAHI untuk menempatkan roh mereka di kalangan roh para SOLIHIN. Al-Fatihah.

Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment