Tindakan Bekas Pemimpin Umno Bakal Hangatkan Pentas PAU 2016

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno selepas keluar parti antara yang akan memanaskan pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 pada akhir bulan ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau percaya tindakan tidak masuk akal bekas pemimpin tersebut pastinya mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan perwakilan.
"Perwakilan akan suarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara itu. Kita pun tak faham apa yang cuba dilakukan bekas pemimpin tersebut sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak masuk akal.
"Barangkali disebabkan ketidakpuasan hati, mereka sanggup hancurkan institusi yang dahulunya dinaungi mereka. Mereka sendiri berucap bahawa kita perlu pertahankan institusi ini tetapi kali ini mereka telah berubah, buat cerita lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberikan taklimat kepada pemberita tentang PAU 2016 yang akan berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember ini.
Jelas Tengku Adnan, tindakan beberapa bekas pemimpin tertinggi Umno itu tidak sesekali menjejaskan sokongan ahli terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Apa yang penting kita ada solidariti. Kita percaya kepada yang telah disebut iaitu kita mesti bersatu, setia dan berkhidmat.
"Kita juga terus menyokong kepimpinan yang ada dan kita tahu puak pembangkang atau mereka yang tidak berpuas hati mahu meruntuhkan institusi kepresidenan kita," katanya.
Selain itu, Tengku Adnan tidak menolak isu berkaitan kerjasama Umno dan PAS turut akan dibahaskan perwakilan pada perhimpunan tersebut.
"Kita serahkan apa yang berlaku pada perhimpunan itu nanti. Barangkali ia akan disuarakan perwakilan. Kita akan dengar pandangan mereka dan buat keputusan mengenainya selepas itu," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata isu yang turut diberi tumpuan adalah persediaan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang.
"Kita nak fokus kepada PRU-14, itu antara isu yang saya ingat akan diutarakan oleh perwakilan nanti," katanya.
Seramai 5,732 perwakilan akan menghadiri PAU 2016 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Daripada jumlah itu, kira-kira 2,762 merupakan perwakilan pada perhimpunan agung parti manakala 993 orang adalah perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda (992 orang) dan Puteri (991 orang).
Seramai 44 delegasi mewakili 12 parti politik dari 10 negara telah mengesahkan kehadiran mereka untuk PAU 2016 selain 78 perwakilan daripada 80 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh Badan Perhubungan Negara.
Kira-kira 1,193 petugas media daripada 48 buah agensi iaitu 45 tempatan dan tiga antarabangsa turut akan terlibat dalam perhimpunan pada kali ini.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment