Rohingya: Menteri lobi Malaysia boikot Piala AFF di Myanmar

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan dia telah melobi untuk pasukan bola sepak Malaysia memboikot saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar kerana kezaliman tuan rumah terhadap minoriti Rohingya Muslim.

Khairy berkata beliau telah membawa isu itu dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas, dan akan terus berbuat demikian dalam mesyuarat yang sama pada minggu ini.

"Saya membangkitkan isu ini dalam Kabinet minggu lepas. Akan berbuat demikian sekali lagi minggu ini, "kata Khairy dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa skuad Harimau Malaysia menarik diri daripada menentang Myanmar pada saingan Piala AFF Suzuki di negara itu pada Sabtu ini.

Mohd Asri berkata gesaan itu dibuat sebagai membantah kekejaman dan kezaliman yang dilakukan kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya beragama Islam di negara tersebut.

Bagaimanapun, Khairy berkata pendirian KBS mengenai gesaan itu hanya akan diputuskan mengikut keputusan sebulat suara dalam Kabinet.

"Pendirian berpandukan keputusan Kabinet," katanya.

Pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar Ahad lalu, Malaysia menang 3-2 ke atas Kemboja.

Skuad Harimau Malaysia akan turun menentang pasukan Vietnam pada aksi kedua kumpulan pada petang Rabu.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa melaporkan beribu-ribu penduduk Rohingya di Rakhine, berdekatan dengan sempadan Bangladesh, meninggalkan kampung halaman mereka bagi mengelak menjadi mangsa kekejaman yang didakwa dilakukan pasukan keselamatan Myanmar.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment