Pakatan Harapan: Belum apa-apa sudah umum calon PM... sindir PAS

PAS tidak nampak masa depan yang jelas sekiranya parti itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP seperti yang dimahukan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, gabungan parti komponen dalam pakatan tersebut seperti tidak mempunyai hala tuju sekiranya memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

“Selepas (pakatan harapan) menang nanti, kita memang akan mempunyai kuasa, boleh duduk mentadbir di Putrajaya tetapi adakah yang kita nak buat itu bertepatan dengan ajaran Allah SWT?

“Ini belum apa-apa sudah umum calon Perdana Menteri. Tunggulah dulu sampai betul-be­tul menang,” katanya ketika berucap dalam Ledakan Suara Rakyat (Lasak 1311) di Taman Medan, Petaling Jaya pada Ahad.

Hashim berkata, PAS yang mempunyai pengalaman luas dalam politik sebelum ini telah bergabung dengan pelbagai parti di negara ini tetapi kerap menghadapi kegagalan.

“Penyatuan yang dilaksanakan selama ini gagal kerana tidak berlandaskan tauhid, tidak menjadikan risalah Allah SWT sebagai rujukan dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba yang menuntut syariat Islam.

“Kita hanya mampu me­ngubah simbol pangkah kepada bulan sabit. Takkan kita boleh berpuas hati pada tahap itu sahaja, saya pasti semua mahukan yang lebih lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hashim yang tampil menyampaikan ucapan sulung di Selangor sejak dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada 9 Oktober lalu berkata, PAS sentiasa mengalu-alukan perbincangan dengan mana-mana parti di negara ini.

PAS terbuka untuk melakukan rundingan tetapi ia hendaklah dilakukan secara dua hala dan mengikut pertimbangan yang wajar.

Malah Hashim, menggesa mana-mana pihak supaya tidak menuduh mereka bersekongkol dengan BN.

“Walaupun kita anggap mereka sebagai musuh tetapi agama tidak melarang untuk mengadakan perbincangan. Sekarang, jika pakatan harapan nak berbincang mengenai apa-apa soalan, kita terbuka untuk itu.

“Pas sedia mendengar dan mereka pun perlu sedia mende­ngar dengan apa yang kita ingin katakan. Barulah selepas itu kita boleh pertimbangkannya,” jelasnya.

Hashim turut mengingatkan umat Islam untuk tidak bimbang dengan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat kerana kekuatan Islam akan terus kukuh selagi al-Quran dijadikan pegangan.

Mengulas mengenai kenyataan Mahathir bahawa PAS mendapat dedak daripada BN itu, Hashim berkata ia sekadar pandangan bekas perdana menteri itu saja.

"Itu pandangan dia. Saya ada pandangan saya sendiri. Tak semestinya saya kena ikut apa yang Mahathir kata.

"Saya ada cara dan pegangan saya sendiri bahawa tidak semestinya kita tak sokong Pakatan maka kita sokong Najib," katanya lagi.

Ketika berucap di konvesyen PH Sabtu, Dr Mahathir berkata bahawa mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap PH adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menegaskan PH yang merangkumi PKR, DAP dan PAN harus diberikan sokongan bulat untuk menjatuhkan Najib dan mereka yang enggan turut serta berkemungkinan sudah 'dapat dedak'.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, tetapi kenyataan tersebut jelas ditujukan kepada PAS yang menyatakan secara jelas pendirian mereka untuk tidak menyertai PH.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana