Mahathir mungkin lupa tentang PAS - Salleh


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Tun Dr Mahathir Mohamad lupa mengenai kebenaran apabila menyeru parti-parti pembangkang mempunyai satu parti, satu simbol dan satu manifesto.
 
Salleh berkata bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu nampaknya lupa mengenai kebenaran berhubung PAS, yang dipinggirkan oleh gabungan pembangkang selepas bertelagah dengan DAP.
 
Beliau mempersoalkan usaha Mahathir untuk menyatukan pembangkang dengan satu simbol dan manifesto kerana isu itu telah menghantui mereka sejak 1999 dan walaupun selepas 17 tahun, mereka masih tidak dapat melaksanakannya.
 
"Bercakap mengenainya memang mudah. Melakukannya adalah perkara lain sama sekali. Pembangkang tidak bersatu dalam banyak perkara, jadi bagaimana hendak mencapai persetujuan mengenai satu parti, satu simbol, satu manifesto?.
 
"PAS tidak akan membuang simbol "bulan", begitu juga DAP tidak akan membuang simbol "roket".
 
"Itu adalah identiti setiap parti individu. Meminta setiap parti membuang simbol tradisionalnya dan menggantikannya dengan simbol bersama adalah sesuatu yang mereka telah lama bincangkan tetapi tidak pernah melaksanakannya sejak 17 tahun lalu," kata Salleh dalam catatan pada blog beliau sskeruak.blogspot.my.
 
Salleh berkata pakatan pembangkang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan AMANAH semuanya mempunyai agenda berasingan.
 
Beliau menjelaskan bahawa perjuangan PPBM lebih kepada untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan menggantikannya dengan proksi Mahathir, PKR pula untuk membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara dan menjadikannya Perdana Menteri, manakala AMANAH adalah parti terdiri daripada ahli-ahli PAS yang terkilan yang cuba tetapi gagal untuk menggulingkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"DAP sebaliknya adalah sebuah parti yang mahu memperjuangkan slogan "Malaysian Malaysia", yang kebanyakan orang Melayu, malah mereka dalam pembangkang pun, tidak menerimanya," kata beliau.
 
Mengenai manifesto bersama, beliau berkata ia menimbulkan satu lagi masalah bagi pembangkang kerana DAP mahukan negara sekular bagi negara ini tetapi sebaliknya PAS mahu menegakkan sebuah negara Islam.
 
Beliau mempersoalkan sama ada PKR, AMANAH dan PPBM; dan juga PAS sedia menerima negara sekular yang diperjuangkan DAP.
 
"Jadi itu bermakna, seperti biasa, selain manifesto bersama, setiap parti juga mempunyai manifesto masing-masing dan manifesto berbeza untuk setiap negeri seperti pada masa lalu," katanya.
 
Mengenai kritikan Dr Mahathir terhadap PAS baru-baru ini dengan mengatakan bahawa parti itu telah "makan dedak" kerana menentang pembangkang, Salleh berkata: Apa yang Mahathir gagal lihat ialah PAS tidak meninggalkan Pakatan Rakyat tetapi DAP meruntuhkan Pakatan Rakyat supaya PAS boleh disingkir dari gabungan pembangkang -- dan apabila mereka membentuk Pakatan Harapan, PAS tidak dijemput untuk menyertainya.
 
Beliau menyamakan serangan Dr Mahathir terhadap PAS dengan doktrin bekas Presiden Amerika Syarikat George Bush Senior iaitu "jika anda tidak bersama saya maka anda menentang saya" untuk meraih sokongan bagi melancarkan perang terhadap Iraq, yang menyebabkan seluruh Timur Tengah kini berada dalam keadaan kucar-kacir.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment