Mahathir gertak PAS kerana tidak yakin dengan Pakatan Harapan

Kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa sesiapa sahaja yang tidak menyertai Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP adalah penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa beliau tidak yakin dengan kekuatan pakatan tersebut.

Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik berpengalaman, beliau amat memahami bahawa pakatan berkenaan adalah gabungan rapuh dan tidak akan mampu menandingi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi pemimpin berusia 91 tahun tersebut kehadiran PAS amat diperlukan kerana hanya parti itu mempunyai keupayaan untuk meraih sokongan orang Melayu. Mahathir tidak boleh mengharapkan PKR, PAN apatah lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mencapai impian peribadinya menjatuhkan Najib.

DAP pula hanya kuat untuk menarik sokongan kaum Cina. Oleh itu, beliau cuba melakukan serangan psikologi politik dengan ‘menyerang’ pendirian PAS yang merupakan satu-satunya parti yang tidak mahu bergabung dengan Pakatan Harapan yang sudah pasti akan mengikut telunjuk DAP.

Persoalannya, apakah PAS akan mendapat kelebihan atau keuntungan politik dengan bergabung dalam pakatan tersebut? Atau kehadiran PAS sekadar untuk meneruskan ‘tradisi’ parti-parti pembangkang mahu menjadikan Pas sebagai ‘kuda tunggangan’?

Hakikatnya apa sebenarnya perjuangan Pakatan Harapan? Apakah ia bertujuan kononnya untuk menyelamatkan Malaysia atau ia mahu melunaskan dendam politik mana-mana individu yang bergabung dalam pakatan tersebut?

Justeru PAS perlu istiqamah dan tidak terpedaya dengan politik licik Pakatan Harapan. PAS mungkin tidak ada masalah untuk berkawan dengan PKR atau bekerjasama dengan PPBM tetapi bagaimana dengan DAP dan PAN? Wajarkah PAS mahu berkawan dengan parti yang sebelum ini melemparkan pelbagai penghinaan dan melayan PAS bagaikan sebuah parti tidak bermaruah?

Sebenarnya Pakatan Harapan tidak ada harapan tanpa PAS. Sebab itulah apa cara sekalipun Mahathir mahu PAS menyertai pakatan itu biarpun menyedari bukan mudah bagi PAS mengubat luka akibat tindakan politik yang dilakukan oleh DAP dan PAN.

Boleh sahaja PAS kembali ke dalam Pakatan Harapan dengan syarat, kesemua parti pembangkang perlu melayan PAS sebagai parti utama termasuklah memberi sokongan penuh kepada pembentangan Rang Undang-undang 355 yang akan dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

PAS juga harus disenaraikan sebagai calon utama untuk mengisi jawatan Perdana Menteri dan dibenarkan bertanding di kesemua kerusinya tanpa perlu berkongsi atau menyerahkan kepada sesiapa.

Tetapi penulis yakin impian itu ibarat menanti bulan jatuh ke riba, DAP tidak akan membenarkannya manakala PAN tidak akan merestuinya. Lanjutan itu kehadiran Pas sekadar untuk diperalatkan.

Kalau Mahathir jujur dan memahami kekuatan serta kelebihan PAS sudah pasti beliau akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Harapan untuk memastikan PAS menjadi parti utama dalam pakatan tersebut.

PAS tidak boleh dilayan sekadar alat atau kenderaan politik dalam usaha pakatan pembangkang menawan Putrajaya. Kalau itu dilakukan ia bermakna mereka tidak ikhlas untuk berkawan dengan PAS.

Kerjasama politik yang sepatutnya diwujudkan bukanlah semata-mata untuk menjatuhkan seorang pemimpin seperti mana diidam-idamkan oleh Mahathir, tetapi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Namun malangnya, apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan bagaikan langkah politik yang berteraskan matlamat menghalalkan cara, apa sahaja sanggup dilakukan termasuklah bersandiwara dalam hubungan politik.

Mana mungkin Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tahu perangai DAP dan tidak memahami kekuatan pembangkang. Tetapi  Mahathir sengaja melupakan perkara itu dan cuba memberi gambaran seelok mungkin kononnya pakatan mempunyai kekuatan untuk menumbangkan BN.

Bagaimanapun politik bukannya boleh dihiasi dengan keazaman dan keyakinan palsu sebaliknya berdasarkan fakta kekuatan serta keupayaan untuk menjadi pilihan kepada rakyat Malaysia.

Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP tidak ada semua itu, sebaliknya mereka hanya memperalatkan satu sama lain semata-mata mahu meraih kuasa dan paling penting memenuhi agenda Mahathir dan PPBM menyingkirkan Najib.

Dalam soal ini, jelaslah Mahathir tidak bersikap jujur. Beliau masih enggan mengakui bahawa mana mungkin parti-parti pembangkang yang mempunyai agenda dan ideologi politik yang berbeza bersatu dalam satu pasukan.

Bayangkan apa akan jadi kepada negara jika pakatan pembangkang menang. Adakah DAP tidak akan membuat tuntutan?Adakah pemimpin-pemimpin hebat dalam PPBM hanya akan menjadi penonton sahaja?

Adakah PAN tidak mahu haknya sebagai anggota komponen? Adakah PKR akan membiarkan sahaja Mahathir mencaturkan segala-galanya sedangkan parti itu sudah lama berkawan rapat dengan DAP?

Oleh itu kenyataan Mahathir membuktikan beliau tidak yakin dengan PKR,DAP, PAN mahupun PPBM. Bekas Perdana Menteri itu amat mengharapkan Pas biarpun selama ini termasuklah ketika berkuasa PAS dicaci dan dihentam dengan pelbagai kenyataan politik.

Justeru PAS tidak boleh terpedaya dengan pujukan atau mainan politik Mahathir. Beliau hanya mahu PAS berada dalam pakatan pembangkang tetapi belum tentu akan memastikan PAS dilayan dengan sebaik-baiknya setaraf dengan kedudukan parti itu sebagai parti yang mempunyai rekod jauh lebih baik daripada PKR, DAP, PAN dan PPBM.

Sepatutnya Mahathir bertanya dan berunding dahulu dengan DAP kerana selama ini parti itulah ‘taiko’ dalam pembangkang hinggakan PAS tersingkir dan tempatnya diganti oleh PAN. Tiada jaminan ini tidak akan berulang lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana