Mahathir Dibidas Gagal Fahami Perjanjian Perdagangan Dengan China

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ketidakupayaan beliau memahami perjanjian perdagangan antara Malaysia dan China yang dimeterai baru-baru ini.

Menyifatkannya sebagai ‘sama ada sengaja atau kerana kurangnya pemahaman mengenai butiran’,” Abdul Rahman berkata catatan dalam blog Dr Mahathir bertarikh 16 November 2016 bertajuk ‘Najib’s China Trip’ itu diselubungi banyak
kesilapan dan salah tanggapan.

“Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bukan cuba menjadikan urus niaga Najib dengan China sebagai isu perkauman. Beliau menarik perhatian kepada kritikan tidak adil berkaitan perjanjian perdagangan dan pelaburan yang bersejarah bernilai RM143 bilion yang dimeterai oleh Malaysia dengan rakan dagang dan pelabur terbesar kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Beliau berkata delegasi China yang hadir pada perhimpunan agung tahunan MCA baru-baru ini turut melahirkan rasa kesal dan tidak berpuas hati terhadap pembangkang berhubung kritikan tidak adil terhadap perjanjian perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kritikan Dr Mahathir seolah-olah tertumpu kepada pinjaman mudah yang diperoleh oleh Malaysia untuk membina projek Kereta Api Pantai Timur yang menurut beliau akan menambah hutang kerajaan Malaysia dan bahawa kontraktor utama projek itu ialah syarikat dari China,” katanya.

“Walaupun kontraktor utama akan merupakan syarikat pembinaan terbesar di China, perjanjian kita adalah bahawa sebahagian besar daripada kerja-kerja ini akan diberi subkontrak kepada syarikat tempatan dan terdapat juga pemindahan teknologi,” katanya, dan menambah, projek ini akan melibatkan kontraktor tempatan, tidak seperti pembinaan KLCC.

Arkitek yang mereka bentuk menara berkembar itu adalah warga Argentina manakala menara 1 diberi kontrak kepada Korea Selatan dan sebuah syarikat Jepun pula mendirikan menara 2.

Abdul Rahman selanjutnya menjelaskan pinjaman mudah yang diberi oleh Export-Import Bank of China adalah atas terma yang sangat menggalakkan dengan kadar faedah yang rendah serta meliputi tempoh 20 tahun, dan menambah, pinjaman itu juga dalam Ringgit Malaysia dan bukan dalam USD atau Yuan seperti yang didakwa Dr Mahathir.

“Ini menjadikan hujah Dr Mahathir berkaitan risiko pertukaran asing itu boleh dipertikaikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pakatan Dr Mahathir dengan pembangkang telah menyebabkan beliau menggunakan taktik pembohongan dan menakut-nakutkan untuk berulang kali menghakis keyakinan semua rakyat Malaysia serta mendakwa Malaysia sedang menuju ke arah muflis.

“Sejak penubuhan Malaysia, pembangkang diketuai DAP berterusan mendakwa bahawa Malaysia akan muflis. Mereka yang tinggal pada 1960-an dan seterusnya boleh mengesahkan perkara ini. Namun, meskipun lebih 50 tahun berdepan tuduhan bakal menjadi muflis, Malaysia terus berkembang dan semakin kukuh.

“Pada masa ini, ketiga-tiga agensi penarafan kredit antarabangsa utama memberi Malaysia penarafan kredit ‘A’ yang melambangkan gred pelaburan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita baru-baru ini pulih pada suku ketiga kepada 4.3 peratus; kita sekarang dalam bulan ke-227 berturut-turut mencatatkan lebihan dagangan; kita mempunyai lebihan akaun semasa dan rizab pertukaran asing kita pula tetap stabil pada US$97 bilion, ” katanya.

-Bernama
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment