KL, Beijing Menuai Hasil Atas Kepercayaan Tun Razak Terhadap China - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China kini menuai hasil atas keputusan perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein meletakkan kepercayaan terhadap China pada 1974, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata pada waktu itu ayahandanya melakukan apa yang disifatkan beliau sebagai "perjalanan ke daerah yang tidak diketahui untuk menyemai benih persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain".

Mengimbas kembali sejarah hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing, beliau berkata Tun Razak berbuat demikian walaupun disambut dengan hamburan persoalan dan kritikan kerana banyak pihak berpendapat beliau mengambil langkah silap mengemudi Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Setelah beberapa dekad berlalu, keputusan ayahanda saya meletakkan kepercayaan terhadap China itu ternyata tidak sia-sia dan kini kita menuai hasil daripada wawasan beliau itu.

"Hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan China menjadi semakin rapat apabila dibantu oleh pertukaran erat dalam bidang politik dan perniagaan di peringkat tertinggi," kata Najib dalam artikel tulisan beliau untuk China Daily.

Najib berkata China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia pada 2015, kedudukan yang dikekalkannya sejak 2009, dengan perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas mencapai kira-kira US$100 bilion.

"Saya menyaksikan bagaimana China mendapatkan kembali kedudukannya di persada dunia sebagai sebuah kuasa besar, manakala di Malaysia, kami melangkah maju daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada sebuah ekonomi berpendapatan pertengahan atas dan sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Najib, yang kini berada di China untuk lawatan rasmi enam hari, menyebut mengenai usahasama Malaysia-China dalam bidang-bidang seperti industri, infrastruktur, pertahanan, hartanah, landasan kereta api, tenaga, pendidikan dan lain-lain.

Beliau menyebut secara khusus pelan bagi Bandar Malaysia yang dirancang bagi Kuala Lumpur, sebuah metropolis bawah tanah berbentuk futuristik, yang merupakan sebuah bandar raya bawah tanah terbesar di dunia.

"Kami gembira bahawa Malaysia dipilih menjadi hos Xiamen University Malaysia, kampus seberang laut pertama bagi mana-mana universiti awam China," katanya.

Najib juga menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai perjanjian pertahanan signifikan pertama antara kedua buah negara, dengan Malaysia membeli kapal misi pesisir daripada China, dua kapal pertama akan dibina di China.

Katanya hubungan antara China dan Malaysia adalah berasaskan sikap saling mempercayai dan menghormati, namun dalam masa yang sama "kami sedar bahawa walaupun merupakan sahabat rapat, mungkin terdapat juga isu yang kami berbeza pendapat".

"Apabila ia menyentuh soal Laut China Selatan, kami berkeyakinan penuh bahawa pertikaian bertindih mengenai wilayah dan maritim perlu ditangani secara tenang dan rasional serta melalui dialog, sejajar dengan kedaulatan undang-undang dan rundingan secara aman.

"Secara lebih jelas, kami percaya bahawa adalah wajar bagi negara lebih besar untuk melayan negara lebih kecil secara adil. Ini termasuklah bekas kuasa penjajah. Mereka tidak sepatutnya mengajar negara yang pernah mereka jajah tentang cara untuk menangani hal ehwal dalaman masing-masing yang wujud hari ini," katanya.


Najib berkata Malaysia dan China sependapat tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara dan percaya bahawa sejarah, nilai dan sistem tadbir urus sesebuah negara, perlu dihormati.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana