Khalid nafi tuduhan, sifatkan Azmin cuba alihkan isu bayaran RM2.7 bilion

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan beliau berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Khalid berkata demikian menepis dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa beliau yang mula menawarkan jumlah RM2.975 bilion dalam usaha kerajaan negeri memgambilalih syarikat konsesi air berkenaan.

Mantan menteri besar itu kemudiannya menyifatkan dakwaan Azmin itu sebagai khianat, dalam cubaannya mengalihkan kontroversi bayaran setinggi RM2.7 bilion.

"Kerajaan negeri Selangor di antara 2008 dan 2014 tidak pernah menawarkan RM2.975 bilion untuk mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) seperti yang didakwa oleh Menteri Besar Selangor semalam.

"Dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, adalah tidak benar, mengelirukan dan cubaan jelas untuk mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran beliau untuk membayar ekuiti SPLASH RM2.7billion iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja Khalid turut menolak dakwaan beliau kononnya gagal memaklumkan sebarang urusan rundingan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Semua keputusan berkenaan air telah dibentangkan kepada Exco dan Dewan Negeri Selangor apabila perlu. Tambahan pula, sebagai perjanjian penstrukturan semula air melibatkan beberapa syarikat tersenarai di dalam terbitan awam dimana segala tawaran perlu dimaklumkan kepada Bursa Malaysia dan pihak berkuasa yang terlibat.

"Di samping itu, pejabat Menteri Besar yang saya terajui sering mengadakan sidang akhbar setiap kali ada perkembangan baru dan telah mengeluarkan ratusan kenyataan media berkenaan air. Kami juga menganjurkan siri taklimat untuk ADUN dan Ahli Parlimen yang juga telah mengambil bahagian dalam taklimat awam diseluruh Selangor untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang isu rakyat.
Kami juga telah memberi pembentangan komprehensif kepada Dewan Negeri Selangor dan saya yakin pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyediaan pembentangan juga akan bersetuju.

"Ini agak bertentangan dengan amalan kerajaan negeri hari ini yang tidak mahu meneruskan amalan positif ini dan hasilnya rakyat hanya diberitahui hari ini bahawa kerajaan negeri telah pun membuat keputusan untuk membayar RM2.7 billion kepada SPLASH seperti yang disahkan oleh Exco negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga telah membayangkan bahawa jumlah tersebut telah ditolak oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," demikian tegas Khalid.

Khalid juga menyatakan asas disebalik bayaran pampasan yang diberikan kepada empat syarikat konsesi air yang lain yang dilakukan melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Khalid ikut Perjanjian Penswastaan Air 

Dalam tawaran terakhir, merujuk kepada SPLASH, kerajaan negeri ketika ditadbir Khalid menggunakan kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan pulangan 12 peratus setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana dividen yang telah dibayar, sebagaimana dinyatakan di dalam Perjanjian Penswastaan Air yang ditandatangani oleh semua syarikat konsesi termasuk SPLASH.

Malah bertegas RM250 juta yang sepatutnya dibayar kepada SPLASH adalah nilai yang munasabah yang jelas tidak akan membazirkan wang rakyat.

"Kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.9 billion hanya untuk bayaran ekuiti SPLASH seperti yang didakwa oleh Menteri Besar. Walaupun kita menggunakan beberapa kaedah penilaian yang berlainan, nilai ekuiti tidak banyak berbeza. Dalam tawaran terakhir, kami merasakan tawaran yang berpatutan untuk Splash adalah RM250.6juta untuk bayaran ekuiti serta menanggung hutang sejumlah RM1.564 billion.

"SPLASH mempertikaikan tawaran mengambil alih ekuiti berdasarkan 12% ROE setahun serta pemotongan pembayaran dividen. Pada hakikatnya SPLASH telah membayar RM725.4 juta kepada pemegang sahamnya sebagai dividen manakala SYABAS tidak pernah mengeluarkan dividen dan inilah sebab utama mengapa nilai pembayaran ekuiti antara kedua-dua syarikat itu sangat berbeza," ujarnya lagi.

Sebelum dipaksa meletakkan jawatannya, Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi air iaitu, Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) dengan bayaran pampasan sebanyak RM2.47 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (bayaran pampasan RM3.11 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (bayaran pampasan RM990 juta).

Sehingga kini hanya SPLASH enggan menerima tawaran daripada kerajaan negeri berikutan tidak bersetuju dengan jumlah pampasannya.

Sementara itu Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri bersedia menimbang pembayaran sekitar RM2.7 bilon itu namun jumlah sebenar pampasan itu akan tertakluk kepada persetujuan kerajaan pusat dan syarikat konsesi air itu sendiri.

Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment