Kempen Keluar AS, #Calexit #Texit Iringi Kemenangan Trump

SEHARI selepas Donald Trump diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sudah mula ada gerakan untuk menolak kemenangan beliau dengan mengadakan tunjuk perasaan di bandar-bandar utama.

Terbaharu, wujud gerakan yang digelar sebagai #Calexit iaitu kempen untuk memisahkan California daripada AS, sekali gus menjadi sebuah negara yang merdeka.

Berdasarkan keputusan yang dipaparkan pada peta, warna biru yang mewakili calon Parti Demokrat, Hillary Clinton memenuhi sebaris negeri iaitu California, Oregon, Nevada dan Washington, bersempadan dengan negeri yang menyokong Trump.

Malah kempen #Calexit semakin mendapat perhatian dalam laman sosial Twitter ketika penduduk California semakin terdesak untuk berpisah daripada AS dan tidak mahu diperintah oleh Trump.

Meskipun gerakan itu tidak dianggap serius buat masa ini, tetapi berdasarkan Perlembagaan AS, California boleh mendapatkan kemerdekaan secara sah di sisi undang--undang kerana tiada larangan dikenakan berbuat demikian.

Sekiranya majoriti penduduk California bersetuju untuk berpisah, maka perkara itu dapat direalisasikan, sekali gus menjadi perpecahan pertama buat negara AS.

Berdasarkan laporan portal MarketWatch, California boleh menjadi kuasa ekonomi keenam terbesar di dunia jika berpisah daripada AS.

Difahamkan, pergerakan #Calexit juga mendapat sokongan daripada pengasas syarikat teknologi, Hyperloop One, Shervin Pishevar yang mengumumkan beliau sanggup membiayai kempen untuk menjadikan California sebagai sebuah negara.

Sementara itu, timbalan presiden kempen Yes California Independence, Marcuz Ruiz Evans berkata, pihaknya mahu pungutan suara dijalankan bagi memutuskan perkara itu.

Jelasnya, hubungan penduduk California dengan sistem persekutuan tidak berfungsi kerana wang cukai yang dikutip tidak disalurkan untuk pembangunan negeri.

"Kami meletakkan sasaran untuk mengadakan pungutan suara pada 2018 bagi mengadakan pilihan raya khas setahun kemudian," katanya.

Selain #Calexit, terdapat juga gerakan yang digelarkan sebagai #Texit iaitu usaha penduduk Texas berpisah daripada AS.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment