Baju Merah Berhimpun 5 November Di Pejabat Malaysiakini

PETALING JAYA: Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata beliau akan menghimpunkan penyokongnya di pejabat portal berita Malaysiakini di Jalan Tandang, di sini, pada Sabtu.

Keputusan itu dibuat selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz mengumumkan bahawa penyokong Bersih dan kumpulan Baju Merah tidak dibenarkan berkumpul di Dataran Merdeka 19 November ini.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata beliau menghormati keputusan tersebut.

"Kami telah melakukan apa yang perlu dan ia tidak diluluskan. Kami sepatutnya mengadakan perhimpunan pada 5 November di Kelab Sultan Sulaiman.

"Sebelum ini pihak pengurusan telah memberikan kebenaran tetapi apabila saya bertemu dengan mereka pada 28 Oktober, kebenaran itu ditarik balik oleh presidennya yang juga Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Rabu.

"Pihak pengurusan menerima arahan daripada pejabat Menteri Besar untuk tidak membenarkan kami berhimpun walaupun ia akan diadakan secara aman. Sekarang kita telah memohon dengan Bandaraya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan mereka tidak memberikan kebenaran walaupun ia dibuat mengikut proses.

"Kita lihat tempat yang sesuai adalah di Jalan Tandang dekat ibu pejabat Malaysiakini," kata beliau.

Jamal berkata tempat itu sesuai kerana Malaysiakini juga merupakan penerima dana daripada Open Society Foundations (OSF), yang diasaskan jutawan George Soros.

Baju Merah dilaporkan telah menghantar notis kepada polis untuk mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka pada 5 November.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penganjur telah memaklumkan tentang perhimpunan yang dirancang itu pada Selasa, sambil menambah bahawa ia telah disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh.

Terdahulu, Jamal membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan bahawa Bersih dibiayai oleh OSF untuk menjatuhkan kerajaan.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment