Azmin tiada, Dewan Rakyat kecoh isu SPLASH

Ketiadaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali di Parlimen mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat apabila beberapa ahli parlimen saling berbalas fakta mengenai pengambilalihan perjanjian air antara Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (SPLASH) dan kerajaan Selangor.

Kekecohan bermula dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mempersoalkan jumlah pertambahan perjanjian yang dipersetujui kerajan negeri Selangor.

Sebelum ini jumlah perjanjian dikatakan RM9.65 bilion selepas itu dinaikkan sebanyak RM2.76 bilion menjadikan jumlah RM12.35 bilion.

“Jadi siapa akan membiayai jumlah peningkatan tersebut, adakah keseluruhannya kerajaan negeri? Atau berapa peratus kerajaan negeri dan berapa pula Kerajaan Persekutuan?,” soal Budiman ketika mencelah jawapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi Bajet 2017 peringkat Jawatankuasa kementerian berkenaan.

Ia kemudian disambung pula dengan persoalan daripada Ahli Parlimen BEBAS Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sebelum ini mengambil kesempatan ketika perbahasan cuba menjawab pelbagai isu berkaitan pengambilalihan tersebut.

“Saya bangkitkan isu yang menyebabkan syarikat dapat bayaran lebih kerana dia fikir akan dapat untung berterusan, itu sebab saya tunjukkan bahawa ada cara yang mana kerajaan negeri tidak lagi menguntungkan terlalu banyak kepada syarikat konsesi.

“Kalau pendapatan diterima (kerajaan negeri) 8% dan mereka (konsesi) terima 40% hingga 60%, bagaimana kerajaan negeri nak bayar semula pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan menggunakan duit rakyat,” soal bekas menteri besar Selangor itu.

Bagaimanapun tindakan Budiman itu menyebabkan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin turut mencelah dan sedaya upaya cuba membela Azmin.

Ini mencetuskan pertikaman lidah antara mereka bertiga.

Bagaimanapun kesemua celahan tersebut dijawab  Dr Maximus Ongkili bahawa pihaknya hanya menunggu sehingga perjanjian tersebut dimuktamadkan.

“Perkara ini di antara kerajaan Selangor dan SPLASH, biar mereka muktamadkan dan ia tertakluk kepada pelan perniagaan kerajaan Selangor.

“Kementerian tak boleh ambil perhatian kalau tidak dimuktamadkan lagi nilai perjanjian tersebut, itu semua (persoalan) kerajaan negeri Selangor kena jawab,” katanya.

Pertikaian isu SPLASH tercetus selepas Azmin menuduh Khalid sebagai ‘hipokrit’ kerana berdolak dalik dalam isu tersebut.

Khalid sebelum ini menafikan dakwaan Azmin yang mengatakan kerajaan Selangor ketika dibawah pimpinannya menawarkan sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014.

Azmin mendakwa Khalid, sewaktu memegang jawatan menteri besar tidak pernah memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana