Agenda tersembunyi serangan berterusan Pakatan Harapan terhadap ECRL

Serangan Pakatan Harapan terhadap projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah tidak masuk akal dan mempunyai agenda tersembunyi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan, berkata Pakatan Harapan terus mengguna pakai apa saja alasan untuk menimbulkan keraguan sekali gus menggagalkan usaha kerajaan untuk mengimbangi pembangunan antara Pantai Barat dan Timur.

“Pada mulanya, pemimpin Pakatan Harapan cuba menimbulkan keraguan dengan melemparkan tuduhan bahawa Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah sebuah syarikat RM2 yang baru ditubuhkan.

“Namun, saya menjelaskan bahawa syarikat itu adalah syarikat 100 peratus milik kerajaan.

“Semalam, tiga orang Ahli Parlimen Pakatan iaitu Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Hatta Ramli mengeluarkan kenyataan bersama untuk membidas kenyataan saya sebelum ini yang memberikan perbandingan ECRL dengan projek kereta api lain di seluruh dunia yang jauh lebih tinggi kosnya setiap kilometer,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga Ahli Parlimen itu kemudiannya, mencerca beliau dengan berkata bahawa beliau seorang yang jahil kerana membandingkan projek-projek yang kosnya lebih tinggi sehingga ada yang 10 kali ganda berbanding kos ECRL.

Katanya, beliau tidak sepatutnya membandingkan kos projek kereta api luar negara dengan kos ECRL yang menurut mereka bernilai RM91.7 juta setiap kilometer.

“Mereka berkata, saya sepatutnya membandingkan kos ECRL dengan kos projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Gemas-Johor Bahru sepanjang 179km yang masing-masing bernilai RM44 juta dan RM39.8 juta setiap kilometer,” katanya.

Perkara itu membuatkan beliau mempersoalkan keterdesakan Ahli Parlimen yang kononnya cekap sehingga mahu membandingkan kos projek landasan berkembar dengan projek kereta api baharu.

Beliau berkata, projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Gemas-Johor Bahru membabitkan kerja-kerja elektrifikasi dan pemasangan landasan selari menggantikan landasan tunggal sedia ada di sepanjang muka bumi yang kurang mencabar dan kurang memerlukan pembinaan terowong dan jambatan.

Beliau menambah ECRL ialah projek kereta api baharu yang akan menembusi Banjaran Titiwangsa yang mencabar dan memerlukan sekurang-kurangnya pelbagai jambatan sepanjang 110km, pelbagai terowong sepanjang 50km, stesen-stesen baharu, depot, sistem-sistem isyarat dan infrastruktur sokongan.

Abdul Rahman berkata, ECRL turut mempunyai laluan baharu sepanjang 88km yang akan menghubungkan kawasan Gombak yang berkepadatan penduduk dengan Pelabuhan Klang membabitkan penambahan kos yang tinggi.

“Seperti yang saya katakan, semua projek infrastruktur tidak boleh dibandingkan secara langsung. Sekiranya kita mengambil pendekatan ini, maka projek-projek infrastruktur pengangkutan lain yang dijalankan oleh kerajaan Pakatan Harapan juga boleh dipersoalkan.

“Sebagai contoh, jawapan kerajaan negeri Pulau Pinang diketuai DAP pada Jun lalu mengenai kos projek Terowong dasar Laut Pulau Pinang mengesahkan bahawa kos laporan kebolehlaksanaan dan reka bentuk sahaja mencecah RM10.3 juta setiap kilometer bagi jalan berpasangan dan RM13.2 juta setiap kilometer untuk terowong sepanjang 7.2km – berjumlah RM305 juta yang kerajaan Pulau Pinang menegaskan bahawa jumlah itu adalah munasabah dan berada dalam had,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa projek ECRL akan dilaksanakan mengikut fasa-fasa membabitkan laluan dari Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan akhir sekali, Tumpat.

Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana