1MDB terlalu dipolitikkan orang tertentu untuk kepentingan diri - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah terlalu dipolitikkan dan pihak tertentu dalam Malaysia cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan politik peribadi mereka.

Katanya, mereka ini yang telah "menyalurkan kepada pihak berkuasa asing maklumat yang adakalanya salah atau tidak lengkap."

"Mereka yang berada di luar Malaysia adakalanya tidak mudah untuk memahami kerumitan isu ini, dan ia suatu yang mereka harus ingat supaya tidak terjebak dalam perkara ini yang kini merupakan isu politik dalaman negara," kata Najib dalam interviu bertulis dengan Nikkei Asian Review sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun mulai hari ini.

Lawatan itu adalah atas jemputan rakan sejawatannya Shinzo Abe.

Najib berkata pihak berkuasa Malaysia, yang sebenarnya telah memulakan penyiasatan dalam isu 1MDB, dan beliau sendiri yang terlebih dahulu mengarahkan pelbagai pihak untuk menjalankan siasatan.

Najib diminta mengulas tentang tindakan kerajaan asing menyiasat dakwaan mengenai penyelewengan dana berkaitan 1MDB dan sama ada beliau menganggapnya sebagai suatu campur tangan serta sama ada Malaysia akan membuka semula siasatannya.

Perdana Menteri berkata beliau telah berulang kali menegaskan bahawa kerjasama penuh perlu diberi terhadap mana-mana siasatan, dengan syarat ia tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.

"Malah, seperti yang sering saya tegaskan, sekiranya terbukti berlaku sebarang salah laku, undang-undang akan diambil tanpa sebarang pengecualian," katanya.

Mengenai pendirian Malaysia berhubung keputusan The Hague berkaitan tuntutan maritim oleh China, Najib berkata Malaysia sentiasa berpendapat dan menyuarakan pendiriannya bahawa semua tuntutan di Laut China Selatan perlulah berasaskan dan diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa.

"Kami percaya semua pihak perlu menghormati proses diplomatik dan undang-undang serta menyelesaikan sebarang pertikaian dan perselisihan pendapat secara aman melalui rundingan," katanya.

Mengenai sama ada proses berasaskan konsensus yang menjadi amalan ASEAN perlu ditukar kepada keputusan berasaskan majoriti bagi mempercepatkan proses membuat keputusan, Najib berkata ia adalah sesuatu yang unik serta mengikut cara ASEAN dan oleh itu, perlu dikekalkan.

"Segala yang dicapai ASEAN selama ini adalah hasil daripada usaha secara bersama dalam kalangan 10 negara anggotanya. Ternyata, cara membuat keputusan melalui konsensus ini amat memberi manfaat kepada komuniti itu - dalam politik, sosial dan budaya - dan oleh demikian, perlu terus dipulihara."

Mengenai lawatannya ke Jepun, Najib berkata beliau dan Abe akan membincangkan perkara dua hala dan isu kepentingan serantau serta antarabangsa.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan para menteri yang bertanggungjawab bagi pelbagai jabatan, termasuk tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan serta komuniti peniaga.

Najib berkata Malaysia dan Jepun kini dalam fasa kedua Dasar Pandang Ke Timur, dan "sejajar dengan itu, kami akan terus mengukuhkan lagi kerjasama institusi antara kedua-dua negara kami".

"Secara khusus, saya komited terhadap usaha meningkatkan pengaliran perdagangan dan pelaburan - terutama dalam bidang seperti inovasi dan teknologi berkelebihan tinggi, kemahiran teknologi tinggi dan pembangunan perkhidmatan serta tenaga boleh diperbaharui," kata beliau.

Perdana menteri berkata Jepun menjadi peneraju dalam kebanyakan sektor ini dan Malaysia amat berminat untuk belajar daripada negara itu serta bekerjasama dengan Jepun dalam bidang berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana