Siapa Jual Tanah, Pemilik Hotel-Hotel Di Langkawi?

Dalam usaha memburuk-burukkan Kerajaan BN di negeri Kedah, seorang lelaki yang bapanya pernah diangkat UMNO sebagai Perdana Menteri paling lama mentadbir negara menyerang projek pembangunan yang direncanakan di Pulau Langkawi.

Difahamkan terdapat cadangan untuk menambak laut di Langkawi bagi menghubungkan Dataran Lang dengan Taman Chogm di Langkawi. Lelaki itu mendakwa Menteri Besar Kedah sudah meluluskan projek berkenaan, tapi dia akui diluluskan secara ‘prinsip’.

Kemudian, lelaki tersebut menuduh pula kedua pusat lokasi pelancongan awam Langkawi itu akan dijual kepada pihak swasta? Dia kritik pula depa orang kampung kononnya Kerajaan BN Kedah itu menjual tanah negeri sewenang-wenangnya untuk menjana pendapatan negeri?

Penulis benar-benar hairan dengan lelaki yang pernah mentadbir Kedah selama hampir 3 tahun itu. Dia bagaikan tidak rasional dalam melakukan serangan politik. Tidak kisah jika beliau sudah jadi Naib Presiden parti baru pun, tapi jika mahu lakukan serangan politik, ikhlaslah sedikit…

Adalah tidak logik sama sekali sekiranya Kerajaan Negeri Kedah mahu menjual Dataran Lang dan Taman Chogm itu kepada pihak swasta. Setahu penulis, kedua lokasi tarikan pelancong itu akan kekal menjadi milik awam.

Yang akan ditawarkan kepada pihak swasta adalah kawasan laut yang bakal ditambak dalam cadangan projek menggabungkan dua lokasi ikonik itu. Jika mahu dibina kondominium atau hotel 10 bintang di situ, terserahlah pada pihak swasta berkenaan, asalkan tidak melanggar undang-undang.

Itu pun jika projek berkenaan diluluskan oleh semua pihak dan agensi yang membuat kajian secara terperinci. Belum tahu lagi lulus atau tidak. Jika EIA kata ia bakal mencemar ekosistem dan alam sekitar, maka mungkin ia tidak akan diluluskan, bukan?

Seperti yang kita maklum, Langkawi merupakan antara pulau yag diiktiraf tercantik di dunia dan menjadi pusat pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa. Hasil pelancongan di pulau itu bukan saja memberi pulangan lumayan pada negeri miskin itu, malah turut memberi impak positif pada ekonomi rakyat setempat.

Terlintas di fikiran penulis, siapakah gerangan sebenarnya yang menjual banyak tanah-tanah di Langkawi itu kepada pihak swasta untuk dibangunkan sebagai pulau pelancongan. Kepada siapakah pula tanah-tanah anak Langkawi itu dijual? Tidak terlintaskah di fikiran lelaki itu?

Ketika Langkawi menjalani proses urbanisasi ke arah menjadi pusat pelancongan bertaraf dunia, siapakah Ahli Parlimennya? Siapakah yang menjadi Perdana Menteri dan siapakah yang dikatakan telah banyak banyak berjasa ‘mengubah’ landskap pulau tersebut?

Hasilnya hari ini hingga terpaksa ditambak pinggiran laut untuk meningkatkan potensi dan permintaan jutaan pelancong yang datang ke pulau berkenaan setiap tahun. Tanahnya sudah habis dijual, maka salahkah ditambak lautnya sedikit untuk tujuan pembangunan?

Sudah berhektar-hektar tanah itu dijual pada ‘kroni-kroni’ yang kini sudah kaya raya menikmati hasil kekayaan Langkawi, dan kini lelaki itu komplen tentang projek tambak laut untuk pembangunan yang belum tentu lulus atau tidak?

Kenapa tidak persoal tentang tanah-tanah yang sudah sah dijual bertahun-tahun sebelum ini? Hampir setiap inci persisir pantai, sama ada berpasir atau lumpur yang ada di Langkawi itu milik siapa? Hotel-hotel siapa? Kroni-kroni siapa? Khabarnya, cukai tanah-tanah itu yang bernilai jutaan ringgit pun tidak dibayar?

Jadi, penulis menyarankan supaya lelaki itu pulang saja ke rumah dan bertanya pada bapanya tentang tanah-tanah yang sudah dijual di Langkawi itu. Khabarnya, bapa lelaki itu berjawatan besar paling lama dulu. Tentu dia tahu dan boleh cerita hotel itu milik siapa dan hotel ini milik siapa, kan?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana