Rakyat Selangor sudah tidak tahan dengan masalah ketiadaan air

“Kami sudah tidak tahan,” itu reaksi kebanyakan penduduk di Semenyih, Bangi dan bandar ini yang berang dengan masalah ketiadaan air yang berlarutan sejak hampir dua minggu lalu.

Masalah itu juga menjejaskan rutin harian penduduk kawasan berkenaan, malah aktiviti perniagaan seperti gerai makan dan pusat mencuci kereta terpaksa ditutup sehingga bekalan air pulih seperti biasa.

Tinjauan di beberapa kawasan seperti di Saujana Utama, Taman Bukit Semenyih, Bandar Tasik Kesuma Fasa 1 dan Bandar Teknologi Kajang, di sini, mendapati masalah air membelenggu kira-kira 50,000 penduduk di kawasan perumahan dan pusat komersial berkenaan.

Setiausaha Pertubuhan Prihatin Semenyih Hamdan Abu berkata, sekurang-kurangnya 17 kawasan perumahan dan pusat komersial mengalami keadaan kritikal bekalan air sejak hampir dua minggu lalu.

Beliau berkata, bantuan bekalan air menerusi lori tangki oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan beberapa agensi lain tidak mencukupi menyebabkan ada antara penduduk terpaksa mengambil air di kawasan lain setiap hari.

“Lori tangki yang disediakan oleh pihak berkaitan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk yang mencecah puluhan ribu sekali gus menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti harian.

“Sebelum ini, kami berdepan dengan masalah tiada air untuk tempoh lapan hari, namun hanya pulih seketika sebelum ia berulang sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Penduduk Pangsapuri Baiduri Fasa 6, di sini, Shawalizam Yaakob, 48, berkata, dia sudah lali mendengar masalah ketiadaan air dikatakan berpunca daripada pencemaran sungai di kawasan berkenaan.

Katanya, masalah berkenaan seolah tiada berkesudahan, malah semakin buruk apabila semakin kerap kawasan perumahannya terputus bekalan air sekali gus menyukarkannya melakukan aktiviti harian.

“Penduduk kawasan Semenyih sering berhadapan dengan masalah ketiadaan air malah bekalan berkenaan terputus akibat sungai tercemar juga bukan perkara baru.

“Sejak beberapa tahun lalu, kami sudah mengalami masalah sama yang berpunca daripada sungai tercemar namun perkara itu seakan tiada jalan penyelesaian dan pihak berkaitan juga tidak mengambil langkah susulan untuk menanganinya,” katanya.

Penduduk Kampung Pasir Baru Mohd Aris Kassim, 49, berkata, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan susulan iaitu menyita kilang yang didapati menyebabkan Sungai Lalang dan Semenyih tercemar.

“Jika kilang berkenaan tidak ditutup atau dikenakan tindakan tegas, pasti masalah sama tetap berulang dan yang akan terkena tempiasnya adalah penduduk di daerah ini.

“Sampai bila kami mahu melalui situasi sama iaitu terpaksa mengangkut air dari saudara-mara atau menunggu lori tangki semata-mata mahu mendapatkan bekalan air bersih,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana