PAS anggap PAN hanya berangan besar nak rampas Kelantan

Parti Amanah Negara (PAN) perlu mengukur baju di badan sendiri sebelum menyatakan keyakinan akan mentadbir negeri Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, parti itu juga dilihat seperti ‘bermimpi di siang hari’ kerana bercakap pada perkara yang tiada asas.

“Itu mimpi di siang hari. Orang-orang PAN ini suka bercakap besar, namun realiti keahliannya entah beribu orang sahaja tapi semangat dia besar. Angan-angan besar sangat.

“PAN akan hilang relevannya sebab kehadiran Parti Bersatu (PPBM). Mereka sangat bimbang mereka hilang terus daripada persada politik. Maka tidak pelik kita lihat Mat Sabu seperti orang yang mengemis kerusi pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Mohamad Sabu atau Mat Sabu bahawa parti itu terus menyatakan keyakinan dapat mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Yakob.

Bersandarkan kepada itu, Mat Sabu berkata perkara itu boleh tercapai dengan sokongan PH yang dianggotainya bersama DAP dan PKR.

Malah Mat Sabu turut menyifatkan PAS seperti kera sumbang apabila nekad untuk bersendirian dalam arena politik dan membentuk blok ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan BERJASA Parti Koperasi (BERJASA).

Ditanya mengenai langkah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kerusi milik PAS untuk ditandingi pada PRU14 akan datang, jelas Khairuddin perbincangan ke arah itu masih dijalankan dan segalanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

“Itu bergantung kepada rundingan akan datang yang akan diputuskan di peringkat jawatankuasa PAS Pusat. Kita belum ada sebarang kerjasama politik dengan Bersatu (PPBM),” tambahnya.

Semalam, Muhyiddin meminta PAS menyerahkan beberapa kerusi tradisi yang gagal dimenangi parti itu kepada partinya pada PRU14 akan datang.

Mengulas cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, menurut Khairuddin PAS masih menelitinya dan sedang melakukan beberapa kajian.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan yang parti Islam itu hanya akan bekerjasama dengan parti yang memperjuangkan Islam sahaja.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana