Parti Komponen BN Perlu Bergerak Seiringi Hadapi PRU-14

JOHOR BARU: Kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini perlu bergerak seiring dengan lebih erat dan bersatu padu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana pihaknya menjangkakan BN bakal berdepan dengan pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah, susulan kewujudan beberapa parti politik baharu.

Berikutan itu, beliau yang juga Pengerusi BN Johor, berkata kesemua parti komponen harus bersiap sedia dalam pelbagai aspek mulai sekarang bagi memastikan BN terus meraih kepercayaan rakyat serta kekal mentadbir negara ini.

"Sebagai parti komponen BN, kita perlu bergerak bersama dalam merangka manifesto, memobilisasikan sukarelawan, menyediakan bahan kempen dan meningkatkan lagi aspek komunikasi digital.

"Jangan sesekali Umno, MCA, MIC, Gerakan dan yang lain berjalan sendiri kerana jika itu yang terjadi, ia tidak akan mendatangkan kemenangan," katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun MIC ke-70 peringkat negeri di sini, malam Selasa.

Turut hadir Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalannya Datuk Seri S.K Devamany serta Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC negeri, Datuk M.Asojan.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata janji Umno dalam perkara itu ialah parti itu tidak akan berputus asa dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Dr Subramaniam mengingatkan anggota parti agar tidak terpengaruh dengan kewujudan parti baharu.

"Jangan kita hilang fokus dan terpengaruh segala perkara ini kerana hanya satu parti yang boleh membawa perubahan, pembangunan dan masa depan yang baik iaitu Barisan Nasional.

"Parti baharu pula tidak akan kekal lama dan tidak berupaya untuk membawa kesejahteraan kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment