Media antarabangsa burukkan imej Islam setiap hari - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, media antarabangsa mencetuskan imej negatif dalam laporan mereka setiap hari terhadap remaja Islam sebagai pelaku keganasan, kerana jihad dan pengganas sehingga meningkatkan lagi Islamofobia di seluruh dunia.

Titah baginda, malah imej-imej orang Islam yang menjadi mangsa dengan melarikan diri apabila kediaman mereka dibom dan kehilangan orang yang disayangi tetap digambarkan sebagai negatif.

Baginda bertitah, Arab Spring turut dikaitkan dengan keganasan oleh belia Islam yang bertempur dengan pasukan keselamatan ketika tunjuk perasaan di Yemen, Libya dan Syria.

“Penduduk Islam yang tinggal di negara Barat sama ada sebagai pelarian atau sebagai warga negara turut digambarkan dengan imej negatif sebagai penganggur, terpinggir dan mudah terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan ISIS.

“Imej buruk yang dibentuk oleh media antarabangsa ini mengekalkan persepsi negatif terhadap belia Islam. Menyemai persepsi buruk terhadap golongan belia Islam adalah agenda sesetengah ahli politik di Barat.

“Kempen Brexit di United Kingdom umpamanya berjaya mencapai matlamat menunjukkan betapa berkesannya pendekatan dimainkan oleh golongan media antarabangsa ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Ipoh Selasa.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor USAS, Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

Sultan Nazrin bertitah, Islamofobia adalah satu kebimbangan yang terpaksa dihadapi oleh belia Islam yang membesar di Barat apabila masyarakat bukan Islam semakin menunjukkan permusuhan mereka secara terbuka.

Titah baginda, Islamofobia merupakan cabaran serius kepada generasi muda Islam terutama di negara yang penduduk Islamnya adalah minoriti dan di negara-negara yang sedang bergolak di Asia Barat.

Baginda bertitah, trend keganasan ini menyekat pembangunan belia Islam di seluruh dunia.

“Sedangkan terdapat banyak negara Islam yang mencapai kemajuan. Ini dibuktikan melalui perangkaan bahawa satu perempat daripada negara yang diklasifikasikan mempunyai pembangunan manusia yang tinggi adalah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kemajuan dialami negara-negara ini jauh lebih baik berbanding apa yang dikecapi oleh ibu bapa mereka.

“Kehidupan belia Islam di negara-negara yang penduduk Islamnya adalah minoriti di Barat turut menikmati kemajuan yang lebih tinggi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, satu lagi cabaran terhadap golongan belia Islam ialah peluang pekerjaan yang semakin mengecil.

Titah baginda, ini memberikan risiko terhadap berlakunya pengangguran di peringkat global sehingga menyumbang kepada pergolakan politik serta aliran migrasi terutama golongan muda.

Baginda bertitah, pengangguran yang tinggi dikenal pasti sebagai punca bangkitnya golongan belia sehingga tercetusnya Arab Spring.

Titah Sultan Nazrin, dalam usaha untuk seiring dengan pertumbuhan penduduk yang diun­jurkan di Asia Barat iaitu dianggarkan 80 juta orang dalam 15 tahun lagi, pekerjaan baharu perlu diwujudkan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana