Mahathir, Muhyiddin diminta lupakan hasrat pujuk PAS - Mokhtar Senik


SHAH ALAM: PAS tetap menolak sebarang usaha rundingan dan kerjasama antara DAP dan Amanah, meskipun tawaran itu akan digerakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik menegaskan Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak perlu menjadi orang tengah dalam usaha perdamaian itu kerana PAS tetap dengan keputusan menolak dua parti itu.

"Kita rujuk kembali kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana (pihak). Bukan bergabung, tetapi bekerjasama, namun tidak dengan DAP dan Amanah. Ia satu kenyataan jelas daripada Presiden.

"Sekiranya Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) berfikir untuk menyatukan gabungan itu, termasuk mengajak PAS, DAP dan Amanah, bermakna mereka kena lupakan hasrat itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Mokhtar menyatakan respon terhadap hasrat PPBM yang akan terus mengadakan perbincangan dengan PAS dalam usaha memulihkan hubungan parti dengan seterunya, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir pada Sabtu lalu berkata akan memujuk PAS dalam usaha menyatukan kesemua parti pembangkang, apatah lagi dalam keadaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

Sebelum Dr Mahathir berbuat demikian Muhyiddin terlebih dahulu menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyatukan PAS dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Muhyiddin turut mendakwa memperolehi sokongan positif daripada kepimpinan tertinggi parti itu.

Namun PAS tampil dengan kenyataan baru, menerusi Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan yang menegaskan partinya tidak akan menjalinkan apa-apa kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

Dalam isu berlainan, Mokhtar menegaskan sikap wakil Persatuan Hokkien yang menyebabkan mereka enggan memahami sepenuhnya isu rang undang-undang (RUU) yang mahu memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah.

"Dalam isu perjumpaan dengan Persatuan Hokkien baru-baru ini bukanlah kegagalan kita memberikan penerangan, sebaliknya kegagalan mereka memahami penjelasan kita. Jika mereka tak faham lagi, mereka kena panggil kita untuk beri penerangan sebab ia sudah jelas," katanya.

Bulan lalu PAS mengadakan satu pertemuan dengan Persatuan Hokkien untuk menjelaskan cadangan pindaan tersebut, namun berakhir dengan tiada kesepakatan.

PAS yang diketuai Hadi turut diwakili Bendahari Mohamad Noor Mohamad, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Najihatus Solehah dan Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan.

Untuk rekod Persatuan Hokkien mensasarkan sejuta tanda tangan dalam kempen membantah RUU yang dikemukakan Hadi di Dewan Rakyat pada Mei lalu.

RUU dibentangkan Hadi itu dijangka akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan ini.

Pindaan RUU itu membolehkan hakim mahkamah syariah menjatuhkan hukuman melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan 6 sebatan, dalam apa yang dilihat sebagai usaha awal kerajaan PAS di Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana