Kit Siang gagal jawab dakwaan rancangan pembangkang keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan seorang wakil PAS keluar Dewan Rakyat ketika sesi pembentangan Bajet 2017, Jumaat lalu kononnya disebabkan provokasi oleh Datuk Seri Najib Razak.

Demikian alasan diberi oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyatakan beliau sudah menghidu tindakan pembangkang itu sedari awal.

Bagaimanapun apabila diminta mengulas kenyataan Pandikar Amin, Penasihat DAP itu enggan menjawab, meskipun soalan itu diajukan berulang kali.

"Saya tak tahu, apa yang rancang?

"Ini kerana provokasi oleh PM. Apa yang dikatakan tentang rasuah, kleptokrasi dan pemberita mesti menyampaikan kemarahan dalam isu ini.

Anda orang Malaysia bukan? Anda mahu ditadbir oleh 'PPP', iaitu pencuri, perompak dan penyamun? Semua orang tidak mahu. Jadi semua ahli parlimen berang dengan isu ini," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Pandikar memaklumkan sudah menghidu rancangan pembangkang untuk keluar Dewan Rakyat ketika Bajet 2017 sejak sehari sebelum ia dibentangkan.

"Yang Berhormat fikir telinga saya ini tidak dengar apa-apa? Ada mesej yang sampai kepada saya daripada teman-teman bahawa esok ada tindakan keluar dewan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kepada Ahli Parlimen berhubung larangan perbincangan mengenai tindakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana sebab subjudis.

Tindakan keluar dewan itu berlaku selepas Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) membangkitkan sama ada isu DoJ boleh dibincangkan pada sesi perbahasan.

Pandikar Amin berkata beliau sudah membuat keputusan mengenai perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa ia tidak boleh dibincangkan kerana subjudis.

Pembentangan Bajet 2017 oleh Najib pada Jumaat lalu dicemari tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang mempamerkan plakad dan bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

Bagaimanapun tindakan tersebut tidak disertai oleh Ahli Parlimen PAS, kecuali Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal juga turut mengambil langkah untuk kekal dalam dewan meskipun beliau bukan lagi sebahagian daripada kerajaan.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment