Kenapa tiba-tiba berubah nada bila tidak jadi menteri lagi…?

“Saya pernah jadi menteri, selepas itu calon bebas bertanding lawan BN, tetapi dalam kempen saya tidak mengungkit apa perkara yang saya bersetuju bersama.”

Kata-kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad ini bukan satu omong kosong.Mereka yang mengenalinya cukup tahu beliau sentiasa konsisten dalam pendirian politiknya sekalipun telah melalui segala macam liku.

Beliau bukan saja orang lama dalam Parlimen tetapi pernah jadi menteri kemudian jadi Ahli Parlimen biasa balik jadi menteri dan kembali tidak berjawatan dalam kerajaan.

Malah satu ketika dulu beliau pernah terpinggir hingga bertanding sebagai calon Bebas di Johor Bharu sebelum kembali ke dalam UMNO.

Namun kita tidak pernah dengar Ahli Parlimen ini ‘buat perangai’ untuk gugat parti dan kerajaan.

Jadi kita boleh faham kalau beliau merasa kecewa melihat Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tukar nada bila sudah tidak duduk dalam kabinet lagi.

Ini merujuk kepada langkah dua bekas menteri itu yang membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Bagi Shahrir tindak tanduk mereka nyata orang tidak berpendirian tetap.

Beliau yang kini ‘penghulu’ kepada semua Ahli Parlimen BN yang tidak berjawatan selaku Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC)  kata Husni dan Shafie semasa memegang jawatan menteri, tidak pernah membantah, sebaliknya bersetuju dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

“Soal rasionalisasi 1MDB diputuskan oleh kabinet dan ketika itu Shafie menjadi menteri yang bersetuju kepada pelan itu… tapi kenapa masa itu tiada bantahan.

Shahrir menyatakan demikian kepada wartawan di lobi Parlimen Selasa.

Beliau berpendapat mereka seharusnya mempunyai prinsip tersendiri dan bukannya bersifat populis kerana mahu menentang Barisan Nasional (BN).

Shafie, Anggota Parlimen Semporna,Sabah yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan berhubung 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat Selasa.

Isnin semalam Husni iaitu Ahli Parlimen Tambun,Perak yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua turut membangkitkan isu sama selain menggesa kerajaan menguruskan ekonomi negara lebih cekap dan telus.

Ekoran itu sejak Isnin malam,perbezaan ketara tentang penjelasan  beliau mengenai 1MDB dalam interbiu dengan RTM masa menteri dulu dan persoalan yang dibangkitkan beliau di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen biasa  ‘ kenapa perlu tubuh 1MDB’ telah diviralkan secara meluas.

Dalam interbiu dengan RTM itu Husni telah ‘bercakap baik-baik’ menjelaskan rasional disebalik penubuhan 1MDB serta pelan rasionalisasi 1MDB yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Sebaliknya nada itu jauh berbeza ketika menyentuh hal 1MDB dalam perbahasan semalam sehingga ada yang menyifatkan beliau seolah bertanya kepada jawapan yang pernah diberinya sendiri mengenai 1MDB masa dalam kerajaan.

Seorang lagi Ahli Parlimen lama dan juga bekas Menteri  Tan Sri Annuar Musa berkata Husni dan Shafie sepatutnya memberi tumpuan membincangkan kelemahan dasar dan bukannya soal pelaksanaan kerajaan semata-mata.

“Dalam Islam, pemimpin salah ditegur, bukan buang… 1MDB pada pokoknya adalah amat baik, tetapi bermasalah dalam pelaksanaannya.

“Soal pelaksanaan dalam konteks 1MDB sekarang ada proses tertentu (untuk penambahbaikan) yang tengah berjalan, kedua-dua mereka perlu menunjukkan kematangan dalam perkara ini,” kata Ahli Parlimen Keterah,Kelantan yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment