ITBM dan Muhyiddin, Mempolitikkan Perkara Yang Tidak Masuk Akal

Masakan kerana sedikit kontroversi sebuah buku penerbit indie Malaysia di Indonesia International Book Fair 2016, maka mahu dijustifikasi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu telah menjadi alat politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika mahu melakukan perubahan gunakanlah alasan lebih rasional dan tidak merosakkan hubungan para penulis dengan kerajaan. Inilah pandangan saya apabila terbaca tuduhan bahawa ITBM sengaja memburukkan nama negara di Indonesia kerana mereka pro-Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya fikir serangan berbentuk politik ke atas ITBM kerana kulit sebuah buku terbitan Thukul ada simbol komunis dan menjadi bahan siasatan pihak berkuasa Indonesia adalah sangat tidak munasabah.

Malah sebahagian buku tersebut sebenarnya menceritakan tentang kekejaman komunis bukan sebaliknya. Sebab itu tiada tindakan diambil pihak berkuasa di sana dan juga tidak diharamkan di negara ini. Ia hanya menjadi isu kerana ada imej berunsur komunis di kulit buku yang menjadi larangan. Ini soal terlepas pandang sahaja mengenai sensitiviti di Indonesia sahaja.

Pada tahun ini Malaysia menjadi “Guest of Honour” dalam Indonesia International Book Fair (IIBF 2016). ITBM selaku penyelaras Malaysia Pavillion telah menjemput semua penerbit buku Malaysia untuk menyertainya dengan kos RM 1000 (jika tidak silap saya).

Ada beberapa penerbit indie yang diketahui menerbitkan buku-buku tidak pro-pemerintah. Selain Thukul, turut hadir ialah Dubook Press dan Lejen. Namun terdapat juga penerbit lain termasuk penerbit-penerbit universiti, karangkraf, Kota Buku (GLC), DBP dan lain-lain. Hampir 21 buah penerbit Malaysia menyertai acara ini melalui selenggaraan ITBM.

Malah penerbit seperti Dubook walaupun dianggap sering menerbitkan buku anti establishment turut menerbitkan buku-buku penulis pro-kerajaan seperti Azman Hussin, Syahril A. Kadir dan sebuah buku Diognasis tulisan 7 doktor tempatan.

Bagi penerbit Indie seperti Dubook, Tukul dan Lejen ia adalah soal perniagaan. Orang UMNO malas membaca dan membeli buku maka sukar mereka mahu menjual buku yang pro-kerajaan.

Saya tidak kenal Ketua Pengarah Ekssekutif (CEO) ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron secara peribadi. Beliau juga tidak kenal saya walaupun saling berselisih bahu. Namun saya fikir beliau merupakan CEO ITBM yang sangat efektif.

Saya hanya menghubungi beliau melalui pesanan facebook sahaja memohon bantuan beliau menjayakan pelancaran buku Diagnosis yang dialih ke bahasa Indonesia oleh 7 orang doktor negara ini.

Dalam permintaan singkat tidak sampai 3 jam sebelum program beliau memberi bantuan sepenuhnya kepada saudara Nabieh Rahmat menjayakan majlis tersebut.

Kebetulan minat saya terhadap dunia perbukuan belum padam, saya membelanjakan wang sendiri menghadiri beberapa acara Malaysia termasuk semasa majlis perasmian oleh Menteri Pendidikan Malaysia, DS Mahadzir Khalid, persembahan Teater Jual Ubat oleh Khalid Salleh, sesi melukis bersama SN Siti Zainon Ismail, Don, Fai Zakaria dan acara bedah buku Diagnosis oleh Maman Suherman.
Justeru selama 3 hari memerhati dan berbual secara santai saya dapati ITBM telah berjaya menaikkan nama Malaysia di kalangan pengamal industri buku Indonesia.

Jadi adalah tidak adil kerja keras ITBM, DBP, Pena, Perbadanan Kota Buku dan para penulis negara termasuk Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail yang hadir setiap hari, diaibkan dengan satu kontroversi kecil yang tidak membabitkan sebarang pelanggaran undang-undang Indonesia pun.

Jika benar ada unsur menolak pemerintah negara ini dalam acara ITBM, saya sendiri akan “membelasah” mereka. Namun saya tahu ia tiada dalam agenda dan tindakan mereka.

Jangan kerana insiden kecil ini digunakan sebagai alat menjatuhkan seseorang dan menaikkan seseorang di ITBM.
Tindakan menyerang ITBM dengan berselindung kononnya mempertahankan pemerintah bukan sahaja menjejaskan nama baik sasterawan kita di Indonesia, tetapi juga menjauhkan para penulis negara dari pemerintah negara ini.

Saya lebih khuatir apabila ada yang melabelkan mereka yang bekerja keras menjayakan Pavillion Malaysia di IIBF 2016 sebagai kem Muhyiddin, maka ia akan turut menjejaskan nama baik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang diketahui akrab dengan para penulis.

Nasihat saya, jangan jadi tikus membaiki labu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana