Bukan senang singkir PM Kata TEngku Razaleigh...Madey Saja Buat Bodoh

‘AGONG ADA KUASA SINGKIR PM’, laung muka depan akhbar ini dua hari lepas, 30 September. Sehari sebelumnya, Tengku Razaleigh mencemik: ‘MASUK POLITIK MAHU KAYA’, juga terpampang di muka depan.

Untuk kali ini, saya cuba memperkatakan dua perkara itu dalam ruangan yang amat terbatas ini. Soal suka atau tidak suka terhadap penjawat perdana menteri adalah hak individu, tetapi soal menyingkirkan perdana menteri bukanlah sesuatu yang senang. Kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal perdana menteri dituliskan dalam Perlembagaan secara sorong-tarik. Apabila satu Fasal membolehkan, terdapat pula Fasal lain yang tidak membolehkan.  

Sebenarnya, kuasa memerintah negara ini terletak dalam tangan Agong, tetapi kuasa itu dikuatkuasakan oleh perdana menteri dan Kabinet. Mereka dilantik oleh Agong. Sebaliknya Agong bertindak atas nasihat perdana menteri. Pihak yang melantik Agong ialah Majlis Persidangan Raja-Raja tetapi Majlis ini tidak sah bersidang tanpa kehadiran perdana menteri sebagai penasihat Agong dan menteri-menteri besar sebagai penasihat Raja-Raja.

Perlembagaan kita memperuntukkan Agong dan Raja-Raja harus melaksanakan sesuatu menurut nasihat PM dan MB. Bukan keterlaluan jika dikatakan itulah caranya Residen dan Penasihat British memerintah Tanah Melayu pada zaman kolonial British dulu. Selepas tiada kata secantik bahasa yang sorong-tarik itu, elok diingati apa yang berlaku dalam sejarah monarki British.

Pada tahun 1649, kira-kira 130 tahun selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis, King Charles 1 dipenggal kepala dan hilang takhta selepas menentang ahli-ahli politik, atau MP-MP. Pemimpin mereka, Oliver Cromwell, merebut kuasa dan menjadi Paduka Pelindung (Lord Protector). Disebabkan rakyat tidak biasa tanpa Raja, Cromwell akhirnya tersingkir; monarki kembali dalam bentuk baharu: Raja Berperlembagaan.

Di sini kini, menurut Perlembagaan, Agong boleh menggantikan PM apabila PM meletak jawatan kepada baginda, atau majoriti MP sudah tidak yakin lagi kepada PM. Itu pun bukan sesenang itu. PM masih lagi boleh membubarkan Parlimen selepas menasihati Agong. Pilihan raya baharu harus diadakan.

Semuanya itu adalah menurut erti kata undang-undang yang mutlak. Akibatnya, satu ketegangan yang tidak diingini boleh berlaku. Ada juga PM atau presiden yang sengaja melangkah keluar dari arena dan menyerahkan kuasa kepada pengganti yang setia dan bersedia. Contohnya, sejak 20 tahun dulu, sudah banyak kejadian begitu yang berlaku di merata dunia.

TENGKU RAZALEIGH (TR), sepertimana Tun Musa Hitam (TM), boleh disiniskan sebagai ‘Bakal Bekas PM’. TR pernah melawan Dr M untuk menjadi PM. TM pula sepatutnya naik pangkat jadi PM tetapi tidak jadi. Jarang sekali TR begitu lantang tentang politik wang. Katanya, orang dulu memasuki politik demi perjuangan bangsa dan negara tetapi sekarang, orang berpolitik untuk mengaup wang. Betul atau tidak penekanan ini perlu direnungi secara luas dan mendalam.

Mungkin benar orang sekarang masuk politik (Umno) untuk wang, tetapi kemungkinan ini tidak mutlak. Sebaliknya, orang dulu tidak boleh dirangkumkan sebagai tidak mengejar wang kerana banyak terdapat bukti yang sebaliknya. Punca wang yang paling terbuka ialah pada jawatan-jawatan tinggi dan kuat. Ada menteri-menteri sejak dulu pernah berkata, punca wang banyak terdapat di tangan MB dan ketua menteri. Mereka berkuasa terhadap tanah, di bawah tanah dan di atas tanah, malah di udara: tanah pertanian, bangunan, galian malah segalanya berkenaan tanah.

Sebagai Menteri Kewangan dan kemudiannya Menteri Perdagangan Antarabangsa (Miti), TR sewajarnya menghayati apa yang boleh dihasilkan daripada pemberian lesen dan permit, malah pelantikan jawatan. Ini belum dikira kuasa dan tanggungjawabnya sebagai ketua Bank Bumiputra, Pernas dan Petronas. Dalam kalangan bekas CEO negeri (MB dan KM), terdapat mereka yang lumayan dan kelihatan lumayan.  

Terdapat cerita sinis akibat persepsi yang buruk, begini: Apabila pekerja hendak alihkan kesumbatan di tangki air, pekerja dapati tangki itu penuh dengan wang tunai berjuta-juta dalam bungkusan plastik. Itulah sebab tersumbat. Sinisme itu terus mengikuti beliau walaupun dinaiki pangkat setinggi gunung! Jika Lembaga Hasil Dalam Negeri dibenarkan, atau diarahkan, menyiasat punca dan pendapatan mereka yang begitu, nescaya semua pihak akan mengambil iktibar dan mengambil pengajaran. Tidak perlulah TR mengeluh ‘Masuk Politik Mahu Kaya’ lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana