Akta dana politik : Inilah masalah pembangkang…kita setuju,mereka tidak – Tengku Adnan

UMNO  mempersoalkan keengganan pihak pembangkang menerima cadangan pengenalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata UMNO sedia melaksanakan perkara tersebut namun ia memerlukan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).

"Perkara ini pernah disebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) setuju ia dilaksanakan supaya semua parti politik membuat pengisytiharan sumber dana yang mereka perolehi.

"Kita terima, yang tak terima ialah pembangkang. Inilah masalah pembangkang. Bila pembangkang tidak mahu terima, maka kita tidak boleh laksanakan. Tetapi UMNO dan BN bersedia bila-bila masa untuk lakukannya," kataya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keusahawanan Enterwip 2.0 dan Technofest 2016  di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebelum PRU lalu, BN pernah mencadangkan keperluan mewujudkan kaedah sumbangan politik lebih telus dan boleh dipantau pihak yang neutral dan objektif, tetapi ia tidak dipersetujui pembangkang.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan turut menasihatkan pemimpin Kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecah belahkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Berkenaan tuduhan itu, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk memeriksa kenyataan berkenaan. Kita tinggal di negara berbilang kaum dan tiada negara lain di dunia ini hidup aman dan berjaya seperti apa yang kita kecapi sekarang.

“Semua pihak, termasuk Jamal perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan agar tidak menimbulkan kekacauan yang mampu memecah belahkan rakyat,” katanya.

Jamal mendakwa Bersih  didalangi pengganas, serta merancang untuk menawan lapangan terbang dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan.

Kumpulan Baju Merah turun ke enam lokasi utama konvoi jelajah negeri Bersih mulai hari ini untuk menyekat rancangan mereka hendak adakan himpunan Bersih 5.0 pada 19 November ini.

Mengenai persempadanan semula, Tengku Adnan berkata BN akan menerima maklum balas daripada parti-parti komponennya Selasa ini sebelum ia di bawa ke Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Ini adalah ekoran perjumpaan bersama Setiausaha Agung parti komponen telah diadakan pada Khamis lalu.

"Kami akan bincang dan ikut peraturan yang telah diberikan oleh SPR. Kalau tak setuju kita akan ikut peraturan perlembagaan yang ditetapkan, kita akan buat apa yang sesuai untuk memberi pandangan terhadap ketidakpuasanhati (persempadanan semula) kepada SPR.

"Kita akan kemukakan kepada SPR sebelum tarikh 14 Oktober," katanya.

Selain itu, Tengku Adnan turut memberitahu bahawa BN telah mencapai konsensus mengenai rang undang-undang (RUU) ahli persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Namun, beliau enggan mendedahkan apakah keputusan tersebut.

"Apa juga keputusan itu, ia dibuat secara konsensus, ia telah dibincangkan dan kami telah mendapat keputusan, jadi anda tunggu dan lihat,"katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment