Tolonglah berkata jujur Datuk Seri Wan Azizah, seru Chegubard

SHAH ALAM: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin memohon penjelasan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  berhubung pemecatan beliau, yang masih menjadi tanda tanya.

Menerusi satu surat yang dipaparkan di blog beliau, Badrul atau Chegubard turut mempertikaikan tindakan parti yang memecatnya dua kali dalam tempoh 12 hari, termasuk pemecatan pertama yang dibuat hasil 'meniru' tanda tangan Setiausaha Agung, Rafizi Ramli.

"Untuk makluman YB Presiden pemecatan ini merupakan pemecatan kedua saya dalam tempoh 12 hari. Ini bukan sahaja pelik tetapi agak lucu.

"Bukan satu rahsia surat pemecatan pertama bertarikh 26 Ogos 2016 dikeluarkan dengan 'meniru' tandatangan Setiausaha Agung parti tanpa pengetahuan Setiausaha Agung yang mana beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada ketika itu.

"Kesalahan meniru tandatangan ini boleh disabit kesalahan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda," katanya dalam surat terbuka kepada Wan Azizah itu.

Beliau yang kesal dengan perkara itu turut menyifatkan tindakan pemecatan ke atasnya dibuat sebagai 'membodek' Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau merujuk kepada pemecatannya yang dibuat atas arahan seorang pemimpin kanan PKR, dipercayai, R Sivarasa, sejurus sebelum tindakannya hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat laporan dan mendedahkan bukti korupsi Azmin.

"Amat malang sekali kakitangan ibu pejabat 'dipaksa' bertindak oleh seorang pimpinan kanan parti seorang ahli parlimen yang juga seorang peguam untuk melakukan jenayah tersebut.

"Dalam perkara ini saya masih menanti penjelasan parti atau adakah PKR sudah hilang ruh ketelusan dan keluhuran undang-undang yang dilaungkan selama ini?

"Saya juga memohon YB Presiden untuk meneliti semula proses pemecatan saya, adakah ia mengikut prosedur dan lunas keadilan itu sendiri," tegasnya lagi.

Dalam nada menyindir, Chegubard turut menyifatkan PKR tidak ubah seperti Umno yang memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersabit skandal 1MDB.

"Adakah kita berbeza dengan mereka? Jawablah dengan jujur dan lancar dengan rakyat. Adakah kita hanya berlawan untuk ambil alih kuasa namun dari segi prinsip kita sama? Mohon jujurlah YB Presiden...jujurlah.

"Akhirnya saya menanti jawapan jujur Presiden parti dan buktikanlah kepada rakyat kita benar-benar berbeza," katanya lagi.

Terdahulu, surat pemecatan Chegubard bertarikh 26 Ogos 2016  dikeluarkan ibu pejabat parti dengan ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Ia dikeluarkan sejurus sebelum Chegubard hadir ke SPRM bagi membuat laporan salah laku Azmin berhubung kontroversi penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah Wetlands.

Isu itu menjadi semakin hangat selepas terbongkar perihal tanda tangan Rafizi sebagai Setiausaha Agung, yang didakwa dipalsukan.

Lebih kalut, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh tidak lama selepas itu menafikan parti memecat Chegubard.

Sebaliknya, Syed Ibrahim berkata parti itu kini masih menunggu keputusan penuh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berhubung tindakan lanjut ke atas Chegubard.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana