PAS Selangor tidak kisah DAP enggan bincang agihan kerusi

CHERAS: PAS Selangor menyambut baik 'pendirian' DAP untuk tidak mengadakan perbincangan berkenaan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersama partinya.

Exco PAS Selangor, Zaidi Abdul Talib berkata ia langsung tidak mendatangkan sebarang masalah memandangkan tiada lagi kerjasama yang mengikatkan kedua-dua parti berkenaan.

"Itu pandangan beliau. Kita sekarang tidak ada sebarang hubungan (kerjasama) dengan DAP, maka mereka bebas memberikan pandangan. Begitu juga kita bebas memberikan pandangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek talian penghantaran elektrik di Taman Cheras Hartamas, petang tadi.

Zaidi berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua bahawa parti itu tidak akan mengadakan perbincangan dengan bekas rakan sekutunya di dalam Pakatan Rakyat (PR) itu bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Pua, dalam sidang medianya hari ini juga membayangkan parti tidak kisah akan pertandingan tiga penjuru yang akan membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Zaidi yang juga ADUN Taman Templer berkata hubungan PAS kini hanya bersama PKR, maka perbincangan akan dilakukan bersama parti tersebut sahaja.

Namun perbincangan itu hanya akan dilakukan apabila tiba waktu yang sesuai, tambah beliau.

"Bila sampai masanya nanti. Sebab sekarang kita masih dalam isu persempadanan semula oleh SPR. Bukan isu pembahagian kerusi.

"Sampai masa nanti sepertimana disebut oleh ramai rakan pimpinan parti, akan ada banyak perkembangan politik baru. Sampai masa kita akan lihat kedudukan," ujarnya.

Ketika diminta mengulas cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya awal di Selangor, Zaidi bagaimanapun enggan memberikan sebarang reaksi.

Beliau sebaliknya meminta menunggu sebarang kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan parti sekiranya ada mesyuarat mengenainya diadakan.

"Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Pesuruhjaya PAS Selangor (Datuk Iskandar Abdul Samad) masih berada di Makkah. Jadi saya serahkan kepada beliau," ujarnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini bertegas untuk tidak mengadakan pilihan raya lebih awal atas alasan menghormati mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

Ini adalah kali kedua Azmin menolak cadangan DAP agar diadakan pilihan raya mengejut di Selangor.

Terdahulu Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa Selangor mengadakan pilihan raya awal atas alasan cadangan persempadanan semula SPR mengubah peta pengundi negeri itu.

Hari ini, Pua pula menggesa perkara yang sama dengan alasan 'adalah bodoh jika mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai'.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana