Bubar DUN Pun Takut? Ingatkan Kuat Sangat…

Sudah hampir seminggu parti-parti politik pembangkang bercakap tentang soal persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sampai ada yang desak Menteri Besar Selangor bubarkan DUN kononnya bimbangkan persempadanan semula itu dikuatkuasakan.

Kata mereka, persempadanan semula itu menyebelahi UMNO dan BN. Lalu mereka menyerang SPR bertalu-talu, cuba seboleh-boleh mencetus persepsi kononnya badan bebas pilihan raya itu cuba memenangkan BN pada PRU ke-14 nanti.

Selama ini, pihak pembangkang selalu mengatakan mereka akan menang pada PRU ke-14 nanti. Kata mereka, rakyat kini makin ramai menyebelahi mereka. Ditambah pula dengan penubuhan parti ‘cap bunga raya’ yang diterajui ‘negarawan ulung’ negara, sokong untuk pembangkang dikatakan memuncak melebihi paras kepala.

Jadi, apa yang hendak ditakutkan dengan isu persempadanan semula itu? Jika benar pembangkang kini menerima sokongan ‘majoriti rakyat’, buatlah persempadanan semula sehebat mana pun pembangkang akan tetap menang mendapat undi, bukan?

Apa masalahnya jika ada PDM yang dipindahkan ke kawasan lain dari asalnya? Bukankah di dalam satu Dun atau Parlimen itu mempunyai banyak lagi PDM yang kekal? Jika majoriti PDM-PDM lain menyokong DAP, PKR, PAN dan PPBM, apa masalahnya untuk pembangkang menang?

Jika terlalu bimbang sangat, cuba bubarkan Dun Selangor lebih awal dan turuti kehendak Lim Kit Siang. Kita sama-sama lihat apa yang bakal berlaku. Apakah DAP risau tewas di Dun Kinrara? Takut kehilangan Dun Kepong? PKR bimbang hilang Dun Bukit Antarabangsa?

Bukankah kini rakyat Selangor lebih suka, lebih sayang dan cintakan Pakatan Harapan? Ditambah pula dengan ‘formula 3M’, hampir pasti Selangor dalam genggaman, bukan? Apalah sangat hendak ditakutkan pada BN dan PAS yang selama ini diperlekeh setiap hari, bukan?

Apa yang hendak dirisaukan PKR tentang PAS? Bukankah kini Pakatan Harapan mempunyai PAN yang lebih hebat dan berjaya dari PAS? Sudah ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS ‘dicuri’ PAN sebelum ini. PAS sudah ‘tidak boleh’ menang mana-mana kerusi di Selangor lagi selepas ini…

Kenapa terlalu bimbang pada kelibat BN jika diadakan pilihan raya negeri? Bukankah Pakatan Harapan kini ‘berpeluk erat’, ‘menggenggam jari jemari teman baru sehidup semati’ yang baru ditubuhkan? PPBM ‘lebih hebat’ dari UMNO dan BN. Borang mereka ‘laris’ seluruh negara! Tak percaya pada ‘kehebatan’ PPBM?

Atau sebenarnya pihak pembangkang sudah hilang keyakinan untuk menang pilihan raya? Bimbang natijahnya akan berlaku seperti PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar? Sudah terasa ‘lain macam’? Rasa ‘seram sejuk, seram sejuk’ bagai hendak ‘demam’?

Atau sebenarnya pihak pembangkang sudah mula sedar bahawa majoriti rakyat sudah terhidu busuk tembelang mereka? Duit yang mungkin rugi, dikatakan ‘hilang’. Malu bila DoJ tarik balik kes, maka mereka mula tarik balik saman secara ‘berjemaah’?

Atau pihak pembangkang sudah terhidu sendiri ‘bau busuk’ yang terdapat pada batang tubuh masing-masing? Baru terjaga dari lena dan sedar walaupun tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain belaka? Baru sebut ‘calon PM’ pun sudah melatah tidak tentu hala?

Jika tidak sepakat, mengaku sajalah. Jika gilakan jawatan, mengaku sajalah. Jika mahukan kuasa, cakap sajalah. Tidak perlulah menipu dan memperbodohkan rakyat Malaysia dengan slogan retorik yang tidak masuk akal. ‘Demi rakyat’? Boleh muntah hijau majoriti rakyat dibuatnya…
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment