Alasan PRN mengejut Pulau Pinang kali ini berbeza, kita akan teliti - Azmin Ali

SHAH ALAM: Cadangan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut kali ini berpaksi kepada alasan berbeza, justeru PKR akan menelitinya terlebih dahulu sebelum menyatakan sebarang sokongan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan itu dengan lebih lanjut.

"Suasana berbeza dan kita kena dengar dulu apakah cadangan ini perlu dibuat sekarang atas keperluan dan pertimbangan yang berbeza.

"Jadi sebab itu saya kata ianya tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Buku Membangun Bangsa Cacatan Pemulaan Tentang Etika, Urus Tadbir dan Kenegaraan nukilannya semalam.

Guan Eng semalam memberitahu akan menimbang segala aspek termasuk cadangan mengadakan pilihan raya mengejut sebagai respon kepada persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dakwanya sebagai berat sebelah.

Bagaimanapun cadangan itu masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan negeri, kata Guan Eng.

Mengulas perkembangan itu, Azmin berkata beliau percaya cadangan ke arah itu akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden nanti.

"Itu saya serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri. Saya percaya perkara ini akan dibincangkan sekiranya kerajaan negeri (Pulau Pinang) merasakan ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri," katanya.

Ini bukan kali pertama Pulau Pinang mengusulkan cadangan untuk mengadakan PRN mengejut.

Cadangan ini pernah diutarakan DAP negeri itu semata-mata untuk melihat sokongan pengundi kepada Guan Eng yang ketika itu baru sahaja didakwa di mahkamah atas dua tuduhan, yang memungkinkan Ahli Parlimen Bagan itu hilang jawatan ketua menteri.

Dua tuduhan itu adalah cubaan menukar status tanah daripada zon pertanian kepada zon komersial dan membeli seunit banglo di bawah harga pasaran.

Cadangan itu bagaimanapun dibatalkan DAP selepas parti itu tidak berjaya mendapatkan sokongan PKR meskipun didokong Amanah.

Ujar PKR, PRN Pulau Pinang akan memberi banyak kesan negatif berbanding kesan positif.

PKR juga tidak yakin untuk mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), jika PRN mengejut itu diadakan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana