Chegubard ingatkan pemimpin PKR fahami makna tersirat 'restu' Anwar

SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mengingatkan seluruh pemimpin PKR agar memahami makna 'tersirat' di sebalik keterbukaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap parti baru yang akan ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard berkata, sepanjang mengenali Anwar apatah lagi ketika pemimpin itu disingkir dari Umno dan kabinet pada 1998 dahulu, Anwar tidak bertindak menyerang Mahathir secara terang-terangan.

Hanya selepas mendapat tahu bahawa Mahathir yang mengarahkan penangkapannya menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri, barulah Anwar menyerang Mahathir di jelajah terakhirnya di Masjid Negara, ujar aktivis itu.

"Itulah watak Anwar, tidak akan menyimpan dendam secara peribadi, dan akan minimakan serangan berbentuk peribadi. Sesiapa yang hendak buka parti dan mulakan gerakan, beliau akan raikan. Cuma, itu isyarat jelas yang harus difahami.

"Masalahnya, yang berada di luar tidak boleh fikir? Anwar kata kita terima (usaha Mahathir). Persoalannya, Anwar meraikan semua, tetapi kamu perlu menilai dengan jelas. Adakah kita perlu junjung, angkat dan terpaksa terhegeh-hegeh hadir ke mesyuarat yang dipengerusikan Mahathir?," kritik Chegubard ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Anwar, pada beberapa hari lalu dilihat terbuka dengan idea Mahathir untuk menubuhkan parti baru, sekaligus menjadi sebahagian komponen pembangkang dalam mendepani Umno-Barisan Nasional (BN).

Reaksi berkenaan dilihat sedikit berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang seolah menjarakkan diri dengan kerjasama yang bakal dibentuk dengan bekas perdana menteri itu.

Chegubard sebelum ini lantang mengkritik Mahathir dan pemimpin-pemimpin PKR yang memuja gerakan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau juga tidak menolak reaksi Anwar itu akan ditafsir sebahagian pemimpin PKR sebagai seolah-olah merestui penglibatan mereka bersama Mahathir.

"Yang di luar, khususnya pimpinan PKR tak faham, yang kamu angkat dan bawa Mahathir, namun dalam masa yang sama berkenaan isu pembelaan Anwar, kamu tak peduli?," soalnya lagi sambil merujuk kepada sokongan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam gerakan berkenaan.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini, termasuk Azmin ditegur Anwar, menerusi sepucuk surat yang ditulis di penjara akibat penglibatan mereka di dalam Deklarasi Rakyat yang ditaja Mahathir.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana