Masuk PAN Boleh Atau DAP Pun Boleh!!!!! Ke Mana Haluan Muhyiddin, Mukhriz Selepas Dipecat Dari UMNO?

Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah pun membuat keputusan sebulat suara memecat keahlian bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari UMNO.

Keputusan tersebut pada pandangan penulis, seharusnya telah dimuktamadkan sejak tahun lepas sewaktu kedua-duanya mula mengambil langkah songsang menyerang kepimpinan dan memperlekehkan parti hingga memberi ruang kepada pembangkang menyerang UMNO dan kerajaan.

Atau paling tidak pun, bila mana kedua-duanya sepentas bersama pemimpin DAP, PKR dan NGO pro pembangkang ketika perlancaran Deklarasi Mahathir tempohari, esok harinya mereka sepatutnya terus dipecat kerana bersekongkol dengan pembangkang untuk menggugat kepimpinan parti.

Apa yang mereka lakukan itu bukan lagi sekadar mengkritik kepimpinan parti konon untuk kebaikan, tetapi hakikatnya sudah sampai tahap memberi peluru dan senapang kepada musuh untuk melumpuhkan UMNO dan BN itu sendiri.

Nak tegur kepimpinan parti tidak memerlukan sezarah pun sokongan dari pemimpin parti pembangkang. Logikkah DAP, PKR dan PAN yang menjadi musuh hakiki UMNO berlapang dada bekerjasama membantu gerakan deklarasi Mahathir demi alasan konon nak selamatkan UMNO? Hakikatnya lagi UMNO rosak lagi mereka suka.

Namun UMNO tidak bertindak sebagaimana yang penulis fikirkan, bukan kerana UMNO tidak kesal dengan kelakuan kedua-duanya bersekongkol dengan DAP, PKR dan lain-lain, tapi disebabkan UMNO terlalu memberi ruang kepeda mereka berdua untuk berfikir dalam sebelum tersasar jauh.

Tiada satupun parti politik atas dunia ini yang membenarkan ahli atau pemimpinnya bersekongkol dengan pihak musuh dalam usaha komplot menjatuhkan kepimpinan parti sendiri. Hatta dalam Islam sendiri memandang hodoh umatnya yang belot menyertai tentera musuh.

Tapi UMNO masih berlembut, lama memberi ruang dan peluang kerana masih mahu percaya kedua-dua mereka tetap totok UMNO, hakikatnya selepas Deklarasi Mahathir dilancarkan, Muhyiddin dan Mukhriz tetap khianat terus menyerang kepimpinan parti dan sengaja mendedahkan UMNO kepada serangan pembangkang.

Dan hari ini, barulah UMNO bertindak, langkah besar yang penulis rasakan mahu dielak namun wajib dilaksanakan akhirnya demi kebaikan dan masa depan UMNO. Kelihatan lambat, tapi penulis percaya ada maslahatnya yang tersembunyi seribu satu hikmah kebaikan untuk UMNO.

Dengan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz hari ini, tertanggallah sudah barah dalam badan UMNO yang sejak lebih setahun lalu cuba merosakkan parti ini dari dalam demi nak melampiaskan nafsu dendam mentor mereka, Tun Mahathir yang mahu menjatuhkan pimpinan parti dan UMNO itu sendiri.

Persoalan sekarang, ke mana haluan Muhyiddin dan Mukhriz selepas ini? Adakah mereka akan membuat parti baru berketuakan Tun Mahathir atau menobatkan bekas PM paling lama itu sebagai Penasihat parti setaraf Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim?

Atau kedua-duanya sedang berdenyut kepala hilang arah tuju kerana tidak menjangkakan UMNO berani bertindak sebegini, lantas terlanjur menyertai DAP, PKR atau PAN? Boleh jadi, kerana suara kedua-duanya sejak setahun lalu semakin seirama dengan gerak tari pembangkang.

Apa lagi kemungkinan? Barangkali sekadar jadi pak pacak mengusung deklarasi Mahathir membiarkan diri terus diperalat dan dipergunakan DAP, PKR dan PAN dengan berterusan menyerang UMNO dan BN?

Bagaimana dengan PAS? Mungkinkah mereka ada hati menyertai PAS? PAS diketahui umum tidak menyokong deklarasi Mahathir, mungkinkah Muhyiddin dan Mukhriz sanggup menebalkan muka dan memekakkan telinga mengemis kedudukan dalam parti itu?

Apa pilihan lain? Biarkan mereka sendiri fikirkan.

Apapun, pemecatan mereka berdua hari ini hanyalah satu proses biasa dalam hal disiplin berparti dan berorganisasi. Bukan UMNO yang sengaja merancang pemecatan tersebut tapi Muhyiddin dan Mukhriz sendiri dari awal sengaja menjemput pemecatan keahlian hasil tindak-tanduk sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana